SEREMBAN, 4 Jun ( Bernama) -- Jualan MADANI Koperasi dan Jualan Agro MADANI akan diperluas ke semua daerah di negeri ini bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah berbanding pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata inisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu membuktikan keprihatinan agensi kerajaan terhadap isu kos sara hidup rakyat.
"Jualan MADANI Koperasi dan Jualan Agro MADANI ini mencerminkan semangat perpaduan, kerjasama dan keprihatinan yang menjadi tunjang kepada gagasan MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan dan keadilan sosial.
"Melalui jualan ini, kita bukan sahaja memasarkan produk dan perkhidmatan ahli koperasi, tetapi juga menyemai semangat keusahawanan serta menyokong pembangunan ekonomi komuniti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Jualan MADANI Koperasi dan Jualan Agro MADANI sempena sambutan Aidiladha yang turut dihadiri Pengarah SKM Negeri Sembilan Radiatul Fitri Dollah di sini hari ini.
Veerapan berkata SKM dan FAMA turut bercadang menganjurkan program berkenaan di Wisma Persekutuan di sini pada setiap bulan bagi membantu orang ramai khususnya penjawat awam membeli pelbagai barangan keperluan pada harga 20 peratus lebih murah.
“Hari ini terdapat 20 peniaga terlibat dan kita berharap lebih ramai usahawan turut serta pada masa akan datang dengan cadangan bagi menganjurkan jualan ini pada setiap bulan adalah usaha yang baik serta perlu diperhalusi,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Radiatul Fitri berkata sebanyak 51 daripada 787 koperasi di negeri ini dikesan tidak aktif pada tahun lepas, manakala 15 koperasi pula berjaya dipulihkan menerusi program pembangunan yang dilaksanakan agensi itu.
"Kita mempunyai banyak program pemulihan, kita juga bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan lain-lain agensi untuk pemulihan koperasi agar kembali aktif, bagaimanapun ia tertakluk kepada lembaga dan ahli koperasi sendiri untuk kembali aktif atau sebaliknya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial