AM

HAWANA: Wartawan Sambilan Mohon Skim Perubatan

01/06/2025 07:09 PM

Oleh Nursuraya Zulkifli

MELAKA, 1 Jun (Bernama) -- Tanpa gaji tetap, kadangkala terpaksa memaksa diri bekerja lebih masa, bukan sekadar untuk mendapatkan byline, tetapi demi mengejar pendapatan tambahan. Begitulah realiti hidup seorang wartawan sambilan.

Tidak menuntut kesamarataan dalam soal gaji atau keistimewaan lain kerana sedar dengan status jawatan, namun wartawan sambilan mengharapkan sekurang-kurangnya satu bentuk perlindungan kesihatan asas sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada industri kewartawanan tanah air.

Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Amran Ali, 52, berkata beliau seperti rakan seperjuangan lain berharap agar satu skim perubatan yang berpatutan dapat disediakan untuk mereka, sekurang-kurangnya sehingga usia 70 tahun.

"Walaupun kami tidak berstatus tetap, tugas dan risiko yang dihadapi sama seperti petugas tetap yang turut memerlukan kami bertugas di kawasan luar bandar atau lokasi yang sukar dicapai.

“Kami juga berdepan risiko sama seperti wartawan tetap, malah ada yang bekerja tanpa cuti tahunan, tanpa caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), apatah lagi jaminan kesihatan," katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, Amran berharap sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dapat menjadi platform mendengar suara golongan sepertinya yang menginginkan satu mekanisme perlindungan seperti caruman kesihatan, dana bantuan kecemasan atau kad rawatan klinik.

Berkongsi pandangan sama ialah Meor Riduwan Meor Ahmad, 49, yang berharap kerajaan dapat mempertimbangkan satu inisiatif atau mekanisme khusus bagi membolehkan wartawan sambilan berdaftar menerima faedah minimum seperti skim perlindungan insurans kemalangan.

“Saya percaya jika kebajikan wartawan sambilan dijaga, mutu pemberitaan akan bertambah baik dan usaha ini juga dapat mengiktiraf peranan wartawan sambilan secara lebih rasmi dan memberi mereka ruang lebih selamat," katanya.

Ketika ini, terdapat Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sejak sambutan HAWANA 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau sudah bersara sekiranya mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan kemuncak HAWANA 2024 di Kuching, Sarawak pada 27 Mei tahun lepas mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA untuk tahun ini.

Pada sambutan sama, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah mengumumkan sumbangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada semua petugas media sambilan selama setahun bermula Julai 2024 yang ditampung sepenuhnya oleh Bernama. 

Kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dengan perasmian oleh Perdana Menteri dan dianggar 1,000 pengamal media dari dalam serta luar negara akan hadir.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana menampilkan pelbagai acara, termasuk Pesta Pantun semalam dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada Selasa depan serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan