KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-67 kepada seluruh warga pasukan itu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan buat seluruh warga TUDM termasuk mereka yang telah menamatkan perkhidmatan kerana telah mencorakkan sejarah kegemilangan angkatan udara negara.
“Dalam tempoh lebih enam dekad ini, TUDM bukan sahaja menjadi tonggak utama kekuatan pertahanan udara negara, tetapi juga memainkan peranan penting dalam misi bantuan kemanusiaan, operasi menyelamat dan sokongan strategik demi kestabilan serantau dan keselamatan rakyat.
“Daripada juruterbang yang mengemudi pesawat canggih hingga ke juruteknik dan anggota sokongan yang memastikan setiap operasi berjalan lancar, setiap individu dalam TUDM adalah nadi kekuatan negara di ruang udara,” katanya dalam hantaran menerusi platform X hari ini.
Ahmad Zahid turut berasa bangga atas disiplin tinggi dan keberanian luar biasa yang dipamerkan TUDM, serta komitmen mereka menjaga ruang udara negara sekali gus menjadikan Malaysia terus aman, berdaulat dan disegani di peringkat serantau mahu pun global.
“Semoga TUDM terus melangkah maju seiring kemajuan teknologi dan perubahan landskap keselamatan global. Teruskan melakar kecemerlangan demi Malaysia yang sejahtera dan berdaulat. Insya-Allah,” katanya.
Hari Ulang Tahun TUDM ke-67 mengangkat tema “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial