AM

Budaya Membaca Perlu Terus Disemarakkan - PM Anwar

01/06/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan bahawa budaya membaca perlu terus disemarakkan lagi oleh semua lapisan masyarakat kerana ia masih belum menjadi amalan di negara ini.

Beliau berkata hal ini bertentangan dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan keyakinan dan kecintaan terhadap ilmu.

“Membaca belum menjadi budaya di negara kita dan (bagi) saya ini agak melelahkan. Apabila kita sebut negara MADANI, ia negara yang berpaksikan (kepada) keyakinan dan mencintai ilmu.

“Bagaimana boleh kita cintai ilmu (jika) sekadar dengar syarahan, lontaran idea? … kadang-kadang ada maki hamun, tetapi tidak berteraskan ilmu. Baca empat ayat, atau dengar celoteh dua minit dalam media sosial, kita buat keputusan. Dunia ini mencabar dan dunia ini memerlukan manusia yang mendalami ilmu mereka,” kata beliau di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025 Mohd Khair Ngadiron serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.

Perdana Menteri bagaimanapun, optimis budaya membaca dapat dipupuk memandangkan penganjuran PBAKL 2025 yang bermula pada 23 Mei lepas, berjaya mendapat sambutan menggalakkan dengan merekodkan kehadiran 1.8 juta pengunjung.

Mengambil contoh kejayaan negara maju, Anwar berkata negara berkenaan dapat dibangunkan kerana rakyatnya mempunyai pengetahuan dan ilmu yang mendalam.

“Lihat negara yang maju, tidak ada negara yang maju yang dangkal ilmunya,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha mengangkat martabat Malaysia sebagai sebuah negara hebat pada masa hadapan haruslah berteraskan kepada pembinaan masyarakat yang berilmu dan mencintai budaya membaca.

Beliau berkata dalam keghairahan mengejar kejayaan, masih terdapat pimpinan politik, golongan profesional, teknokrat dan pemikir yang mengabaikan perkembangan budaya.

“Dalam (tempoh) lima tahun, (atau) 10 tahun lagi, kita ingin mengangkat Malaysia sebagai negara hebat di rantau kita dan untuk itu, kita kena bersiap sedia bersaing, bekerja dan membaca sesungguhnya.

“Lihat saja polemik politik dan ekonomi negara kita, tidak berasaskan ilmu … tidak membaca, hanya sentimen, marah, benci, hukum … agama pun dijadikan gelanggang,” kata beliau.

Justeru, Perdana Menteri mencabar kelompok mahasiswa, pempengaruh dan juga ibu bapa untuk menggalakkan pengukuhan asas ilmu bagi merealisasikan hasrat untuk mengangkat martabat negara ini.

PBAKL yang bertemakan "Buku: Membaca, Memimpin" berakhir hari ini dan menawarkan pelbagai acara menarik serta merupakan antara pesta buku terbesar di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan