AM

Persatuan Farmasi Tegaskan Komitmen Terhadap Kawalan Tembakau, Puji Pengiktirafan WHO

31/05/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menegaskan komitmen berterusan terhadap kawalan tembakau dan masa depan bebas asap rokok bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025, sambil meraikan pengiktirafan yang diterima Malaysia di peringkat global.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noraryana Hassan dan Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy menerima pengiktirafan sempena Anugerah Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025 atas sumbangan mereka dalam mengawal penggunaan tembakau di negara ini.

Presiden MPS Amrahi Buang berkata pengiktirafan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu menonjolkan pendekatan pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia dan menegaskan peranan penting ahli farmasi dalam kempen berhenti merokok.

“Ahli farmasi dilatih dan secara aktif terlibat dalam memberikan perkhidmatan berhenti merokok di bawah program mQuit. Perkhidmatan ini termasuk terapi penggantian nikotin dan kaunseling tingkah laku di hospital awam, klinik dan farmasi swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPS juga mengulangi sokongan terhadap langkah-langkah utama kawalan tembakau termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) dan penguatkuasaan terhadap penjualan vape yang tidak terkawal. Persatuan ini terus terlibat dalam badan pembuat dasar seperti MCTC, Lembaga Racun dan Lembaga Farmasi Malaysia.

“Sempena hari global ini, kami memperbaharui seruan untuk bertindak berani demi kesihatan awam. Kesihatan mesti didahulukan berbanding keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCTC Muhammad Sha’ani Abdullah dalam kenyataan turut menyeru agar akauntabiliti rentas kementerian diperkukuh dan memperbaharui fokus terhadap kesihatan awam berbanding motif keuntungan.

Beliau berkata usaha kawalan tembakau Malaysia mencatat dua pencapaian utama tahun ini iaitu pengiktirafan antarabangsa oleh WHO dan kejayaan memperjuangkan Resolusi Inisiatif Kesihatan Paru-paru di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA).

Resolusi itu, yang bertujuan memperkukuh tindakan pencegahan dalam kalangan negara ahli WHO, sebahagiannya dibentuk oleh wakil Malaysia termasuk MCTC.

“Kelulusan Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) hanyalah permulaan. Pelaksanaan adalah medan seterusnya dan kami komited untuk melihat Malaysia merealisasikan visi masyarakat tanpa tembakau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan