PEKAN, 31 Mei (Bernama) -- Jabatan Perikanan telah mengeluarkan lebih 4.4 tan metrik ikan asing pelbagai spesies dari perairan negara bermula 2022 hingga kini.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata usaha itu dilaksanakan menerusi 17 siri memburu ikan asing yang bersifat agresif, membiak cepat dan mampu menyingkirkan spesies tempatan melalui persaingan makanan dan habitat.
Beliau berkata negara memiliki lebih 449 spesies ikan air tawar tempatan antaranya kelah, temoleh, sebarau dan baung sungai yang penting dari aspek ekologi dan ekonomi.
"Kehadiran spesies asing invasif seperti ikan Peacock bass, keli Afrika, baung ekor merah, dan ikan bandaraya bagaimanapun kini mengancam kelestarian biodiversiti ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesedaran Spesies Ikan Asing dan Pertandingan "Moh! Tangkap Baung Ekor Merah" di sini hari ini.
Adnan berkata berdasarkan laporan diterima, baung ekor merah iaitu spesies dilihat mudah mengadaptasi habitat perairan negara, mencatatkan populasi agak tinggi di Sungai Pahang selain di Sungai Perak dan Sungai Selangor.
Mengulas punca kehadiran ikan asing berkenaan, beliau tidak menolak kemungkinan ia bermula daripada penternak yang membawa masuk spesies itu dari negara jiran, namun terlepas dari kolam ternakan mereka dipercayai akibat banjir.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan baung ekor merah mempunyai nilai ekonomi kerana harga pasarannya agak baik sekali gus menyebabkan komuniti mahu menangkap dan menjual ikan itu bagi menambah pendapatan.
"Hal ini tidak bermakna kita boleh leka dalam situasi ini, kita memerlukan usaha bersepadu untuk mengurangkan bilangan ikan asing ini antara lain dengan meningkatkan kesedaran awam mengenai ancaman spesies ikan asing invasif terhadap ekosistem perairan negara," katanya.
Adnan berkata antara inisiatif yang dilaksanakan ialah menerusi pertandingan menangkap ikan asing bagi mengeluarkan spesies berkenaan dari perairan negara sekali gus meminimumkan impak selain mengurangkan populasi ikan itu.
Pada majlis berkenaan, Jabatan Perikanan turut menyampaikan bantuan geran pemadanan bernilai RM331,400 di bawah Program Pembangunan Integrasi Akuakultur kepada tiga peserta utama Kluster Rizqi dan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat berjumlah RM66,000 kepada 22 nelayan daerah ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial