KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Konvensyen Wanita Selangor 2025 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 28 Jun ini bakal menjadi medan komprehensif memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri itu.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata program anjuran Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) itu menyasarkan lebih 1,000 peserta daripada agensi kerajaan, akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan wanita.
“Konvensyen ini sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Wanita Selangor 2024-2026 dan menjadi platform penting untuk mempamerkan dasar serta amalan terbaik penyertaan wanita dalam tenaga kerja, keusahawanan komuniti dan pemberdayaan teknologi digital,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan WBS dan Khairat Darul Ehsan di sini hari ini.
Mengangkat tema "Meneroka Kekuatan, Mencipta Kejayaan", konvensyen itu akan menampilkan tiga komponen utama iaitu Her Career Convention, Expo Hasil Suri dan Pitching Usahawan Digital.
Anfaal berkata Her Career Convention menumpukan kepada pembangunan kerjaya wanita melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional termasuk dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta ekonomi penjagaan dengan penyertaan sebanyak 30 syarikat.
Expo Hasil Suri pula akan menyaksikan penyertaan 56 Pusat WBS di seluruh Selangor yang akan mempamer dan memasarkan produk komuniti masing-masing, manakala sesi pitching melibatkan 41 usahawan wanita muda mempersembahkan idea digital inovatif untuk merebut geran khas Usahawan Digital.
Mengulas sasaran Selangor meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 75 peratus menjelang 2030 berbanding 69.9 peratus ketika ini, Anfaal berkata beberapa strategi sedang dilaksanakan termasuk kerjasama dengan TalentCorp dan penganjuran Career Comeback Programme.
“Pendekatan diperkenalkan antaranya ialah polisi kerja anjal dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti MBI Corporation. Maklum balas sangat positif kerana ia membantu wanita yang perlu menjaga anak kecil atau ibu bapa uzur,” katanya.
Kerajaan Selangor turut menganjurkan Selangor International Care Summit (SICS 2025) pada Oktober depan serta memperluas inisiatif Usahanita Digital iaitu program latihan dan geran bersasar kepada usahawan wanita perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempercepat proses digitalisasi perniagaan.
“Melalui program ini, kita bantu usahawan wanita B40 dan M40 yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengembangkan perniagaan secara digital. Beberapa peserta kohort pertama telah berjaya mendapat pelanggan dari luar negara,” katanya.
Pada majlis sama, Anfaal turut mengumumkan pelancaran rasmi inisiatif Khairat Darul Ehsan (KDE), kesinambungan kepada program Mesra Selangor yang memberikan bantuan khairat kematian sehingga RM1,000 kepada waris individu yang meninggal dunia.
Mengenai pelancaran KDE hari ini, beliau berkata lebih 2,000 pengunjung menghadirinya termasuk penerima geran khas RM2,000 daripada Kerajaan Selangor yang telah mengikuti kursus pengasuhan sejak tahun lepas.
Anfaal berharap Konvensyen Wanita Selangor 2025 menjadi pemangkin kepada ekosistem menyeluruh pemerkasaan wanita, sekali gus memberi pilihan kerjaya termasuk keusahawanan kepada wanita yang belum terlibat secara formal dalam sektor pekerjaan.
“Melalui platform ini, wanita boleh mengasah potensi dan membina jaringan strategik bersama pelbagai pihak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial