AM

HAWANA: Wartawan Perlu Terus Bersemangat Bantu Majukan Negara - Anwar

30/05/2025 12:52 AM

KOTA KINABALU, 29 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap wartawan di Malaysia dapat terus bersemangat dalam memainkan peranan mereka memajukan negara selain melaporkan pahit getir yang dihadapi rakyat kini.

Sambil menzahirkan penghargaan kepada pengamal media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) hari ini, Perdana Menteri turut menekankan peranan kritikal wartawan dalam menyampaikan berita dan maklumat kepada rakyat.

Beliau berkata peranan itu termasuk tugas mendukung dan menegur dalam usaha membangunkan negeri dan negara.

"Saya ucapkan selamat kepada wartawan yang memikul tugas luar biasa. Mereka memainkan peranan kritikal dalam melaporkan pahit getir rakyat," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perjumpaan dengan pemimpin Pakatan Harapan Sabah di sini malam ini.

Anwar turut mengiktiraf pengorbanan dan keperitan yang dilalui wartawan dalam memenuhi komitmen profesion mereka sambil menggesa agar para wartawan terus bekerja dengan penuh semangat.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun dan untuk 2025, Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan perasmian oleh Perdana Menteri.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan