AM

Setiap Keputusan Kerajaan Berdasarkan Kajian, Pertimbangan Mendalam - Mohamad Sabu

28/05/2025 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Segala keputusan kerajaan termasuk penamatan kawalan harga dan subsidi ayam serta penyasaran semula subsidi telur adalah dibuat berdasarkan kajian dan pertimbangan mendalam demi kepentingan jangka panjang rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata walaupun tidak semua dasar memberi kesan serta-merta namun dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan konsisten, hasilnya akan dituai bersama.

Mengambil contoh penyasaran semula subsidi telur, beliau mengakui ia keputusan yang berat tetapi perlu dan langkah itu dibuat selepas melihat kos pengeluaran stabil dan bekalan terjamin seperti semasa perayaan Aidifitri baru-baru ini.

“Sejak 2022, kerajaan sudah membelanjakan RM2.5 bilion untuk subsidi telur, satu angka besar yang tidak mampan jika diteruskan lagi.

“Lagi satu, subsidi itu selama ini turut dinikmati golongan kaya dan warga asing. Tak adil. Jadi kita salur semula kepada projek yang benar-benar bantu rakyat selaras dengan nilai MADANI,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bermula 1 Mei lepas, subsidi telur dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji dan akan dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Mengulas mengenai langkah penamatan kawalan harga dan  subsidi ayam bermula 1 Nov 2023, Mohamad berkata keputusan itu diambil supaya penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan semula ke sektor ternakan secara lebih terancang.

“Kita mahu reban ayam yang lama dibuka semula, sistem ternakan dinaik taraf dan penternak kecil diberi kemudahan pembiayaan. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pengeluaran ayam negara dan makanan rakyat terjamin,” katanya.

Perkara berkenaan dikongsikan Ahli Parlimen Kota Raja itu ketika berkunjung ke Pejabat Nan Yang Siang Pau petang tadi.

Pada pertemuan itu, Mohamad menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang selama ini menjadi penyampai maklumat, pendidik masyarakat dan penjaga sempadan kebenaran. 

Beliau berkata pengamal media mempunyai peranan besar dalam membina naratif positif, memupuk semangat perpaduan serta membantu membentuk masyarakat yang matang dan bertanggungjawab.

“Bang Mat mahu lihat semua anak bangsa, baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua yang ada terus maju serta makmur dalam negara yang sejahtera. Media juga harus memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan rakyatnya bersatu hati,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan