Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- FBM KLCI meneruskan penurunan pada hari kelima berturut-turut pada Rabu sekali gus memperlihatkan sentimen mengelakkan risiko yang semakin ketara di seluruh pasaran ekuiti Malaysia, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 4.07 mata atau 0.26 peratus kepada 1,544.80 daripada 1,548.87 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka lebih tinggi 4.07 mata kepada 1,552.94 dan berubah-ubah antara 1,542.47 dan 1,553.84 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 649 berbanding 342 manakala 464 kaunter tidak berubah, 963 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.27 bilion unit bernilai RM2.16 bilion daripada 2.61 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Selasa.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur asing kekal sebagai penjual bersih pada Isnin dan Selasa, meningkatkan lagi jualan besar-besaran memandangkan cabaran luaran seperti makroekonomi dan geopolitik terus mempengaruhi kedudukan pelabur.
“Sentimen pasaran masih goyah kerana pelabur global mempertimbangkan ketidaktentuan politik dan fiskal yang berterusan di Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.
Menurutnya walaupun asas domestik adalah berdaya tahan, yang dibuktikan menerusi pengumuman jumlah eksport yang kukuh semalam -- prestasi pasaran tempatan sebahagian besarnya kekal ditentukan oleh pembolehubah eksogen.
Beliau berkata ketidaktentuan pasaran dijangka terus berlaku sehingga hala tuju fiskal dan trajektori dasar monetari AS menjadi lebih jelas, justeru memerlukan pendekatan berhati-hati namun memanfaatkan peluang yang ada.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare menokok 1.0 sen kepada RM6.96, CelcomDigi naik 2.0 sen kepada RM3.90, Hong Leong Bank menambah 10 sen kepada RM20, Press Metal Aluminium meningkat 9.0 sen kepada RM5.05, MISC tidak berubah pada RM7.66 manakala Maybank, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing rendah 4.0 sen kepada RM10, RM14.10 dan RM7.0.
Bagi saham aktif, Harvest Miracle dan MYEG masing-masing meningkat setengah sen kepada 18.5 sen dan 90 sen, Tanco menokok 1.0 sen kepada 96.5 sen, Sarawak Cable susut 5.0 sen kepada 3.0 sen, Inari Amertron menyusut 15 sen kepada RM1.87 dan Nationgate berkurangan 4.0 sen kepada RM1.57.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 41.23 mata kepada 11,525.68,Indeks FBMT 100 merosot 34.20 mata kepada 11,282.77, Indeks FBM Emas Shariah rendah 17.23 mata kepada 11,445.65, Indeks FBM 70 menyusut 67.47 mata kepada 16,345.90 dan Indeks FBM ACE berkurangan 27.49 mata kepada 4,626.05.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 100.05 mata kepada 18,215.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.41 mata kepada 155.05, Indeks Tenaga berkurangan 1.81 mata kepada 712.96 manakala Indeks Perladangan meningkat sebanyak 48.85 mata kepada 7,329.78.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.33 bilion unit bernilai RM1.87 bilion daripada 1.17 bilion unit bernilai RM1.75 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.62 bilion unit bernilai RM191.45 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM128.67 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 327.86 juta unit bernilai RM96.64 juta daripada 363.69 juta unit bernilai RM102.09 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 208.40 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (281.74 juta), pembinaan (110.26 juta), teknologi (190.91 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (69.37 juta), hartanah (146.26 juta), perladangan (17.55 juta), REIT (9.50 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (139.13 juta), penjagaan kesihatan (37.16 juta), telekomunikasi dan media (35.97 juta), pengangkutan dan logistik (26.06 juta), utiliti (5383 juta), dan amanah perniagaan (300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial