PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin telah memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan bantahan awal tersebut pada 25 April lepas atas alasan permohonan itu bersifat 'premature'.
Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Terdahulu peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter berkata pihaknya telah membuat permohonan untuk mendapatkan alasan penuh penghakiman, namun ia masih belum siap.
"Pihak kami (pemohon) ada meminta ‘court recording transcription (CRT)’, namun kami tidak mendapat CRT itu dan yang ada dengan kami hanya nota prosiding sahaja," katanya yang turut memohon supaya semakan itu diteruskan dengan alasan penghakiman ringkas yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Peguam itu berkata pihaknya juga telah memfailkan satu perakuan segera memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam, dengan status pemohon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih lagi tergantung.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan secara e-Review (Zoom) bagi menentukan tarikh pendengaran semakan Peter dan bantahan awal pihak pendakwaan.
Pada 14 Mac lepas, Peter memfailkan notis usul memohon agar Mahkamah Rayuan mengkaji semula serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lepas di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Selain itu, Peter turut memohon pembatalan waran penjara bertarikh 4 Mac lepas yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang terhadap beliau serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan dalam kes tersebut.
Mahkamah Rayuan letika itu memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuan akhir beliau terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Peter sebelum ini telah memfailkan rayuan pada 19 April 2023 bagi mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan, namun gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Beliau telah membayar denda RM50,000 yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial