JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Edar Ganja Tumpas, Dua Warga Tempatan Ditahan

19/04/2025 09:33 PM

GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan penahanan dua lelaki tempatan dan merampas dadah dianggar bernilai RM68,000 dalam tiga serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bermula 3 petang hingga 7 malam.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, polis telah menahan seorang lelaki tempatan di Seberang Jaya dan merampas satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.45 gram (g).

“Polis dengan dipandu arah suspek telah dibawa ke kawasan berhampiran dan merampas tiga kotak berisi plastik berwarna biru dengan satu kotak mengandungi lapan ketulan mampat dan enam peket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 8,478g.

“Dua lagi kotak masing-masing berisi tujuh ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 7,400g dan 7,414g,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Susulan itu, Hamzah berkata pihaknya membuat satu serbuan di SPT dan berjaya menahan seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah motosikal jenis Honda Wave, sebuah kereta Toyota Camry, pelbagai barang kemas dan jam tangan berjenama bernilai RM35,000 menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM103,000.

Menurut beliau dadah yang dirampas itu boleh digunakan 11,500 penagih dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Kedua-dua suspek berusia 31 dan 53 tahun itu direman selama tujuh hari hingga 25 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan