AM

PM Arah KPT, UMS Tidak Sekat Perjalanan Akademik Pelajar Terlibat Isu Karikatur - PMO

24/06/2025 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar tidak menyekat perjalanan akademik pelajar yang terlibat dalam insiden membakar karikatur menyerupai dirinya semasa Perhimpunan Aman Gempur Rasuah 2.0 yang tular di media sosial baru-baru ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata tindakan pelajar terbabit perlu dilihat dalam konteks suara anak muda yang berani menyuarakan pandangan terhadap isu integriti dan rasuah.

Beliau berkata pembakaran karikatur pada perhimpunan itu adalah jejak reformasi yang tidak tergoyah dan sebagai bekas aktivis mahasiswa serta seorang reformis, Perdana Menteri sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Insiden ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi. YAB Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu; beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” katanya.

Sabtu lepas, kumpulan Suara Mahasiswa UMS menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang antara lain berarak sekitar bandaraya Kota Kinabalu serta membawa plakad membabitkan pelbagai isu di Sabah seperti rasuah dan bekalan air.

Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri menekankan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.

“Di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.

"Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur,” katanya.

Beliau berkata demi generasi akan datang, Kerajaan MADANI akan terus menapak di landasan reformasi dengan memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemahkan ke arah kesejahteraan dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan