AM

Piala Asia 2025: Pasukan Sepak Takraw Malaysia Pamer Pencapaian Luar Biasa - PM

18/05/2025 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara telah mempamerkan prestasi yang membanggakan dan menunjukkan pencapaian luar biasa dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun Malaysia tewas kepada Thailand, beliau tetap yakin skuad negara mampu bangkit dan mencipta kejayaan pada masa hadapan.

“Kekalahan hari ini bukan bererti kegagalan selamanya. Skuad regu negara pasti akan bangkit dengan lebih kuat dan padu dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang.

“Terima kasih atas semangat juang yang tinggi dan usaha yang tidak mengenal penat lelah demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya di Facebook, hari ini.

Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan naib juara bagi acara regu berpasukan selepas tewas kepada Thailand 0-2 pada aksi final Piala Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Pasukan regu pertama negara, Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) kalah 11-15 pada set pertama sebelum bangkit 15-12 namun kecundang 15-17 dalam pertarungan penuh debar.

Regu kedua yang dianggotai Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin pula sekadar menang set pertama 15-13 sebelum dikecewakan 13-15 dan 4-15 oleh trio Thailand, Sittipong Kamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan