PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan pendidikan prasekolah hingga menengah menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam usaha memastikan sistem pendidikan negara lebih berfokus dan berkesan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak RM67 bilion diperuntukkan bagi sektor pendidikan termasuk pembinaan sekolah baharu, serta membaiki dan menaik taraf infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.
"Tumpuan Kerajaan MADANI pada ketika ini adalah untuk memastikan kadar enrolmen murid pada peringkat prasekolah dan menengah mencapai enrolmen sejagat.
"Rang Undang-undang Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini," katanya.
Fadhlina berkata langkah untuk mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran asas yang holistik dan menyeluruh kepada kanak-kanak.
Justeru, bagi memastikan usaha itu berjaya, beliau berkata lebih banyak kemudahan prasekolah di bawah KPM akan dibuka di seluruh negara.
Fadhlina berkata di bawah RMK13, inisiatif pembinaan sekolah yang dijadikan sebahagian syarat bagi projek perumahan berskala besar baharu serta peluasan pembinaan sekolah vertikal akan dilaksanakan bagi menangani isu sekolah padat dan kekurangan tapak sekolah yang sesuai, terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi.
Selain itu, katanya penekanan khusus turut diberikan kepada usaha bersepadu bagi memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris; pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
Mengiktiraf peranan guru sebagai asas penting kejayaan agenda reformasi pendidikan negara, Fadhlina berkata kerajaan akan memberikan fokus kepada aspek tambah baik pengambilan guru baharu, program latihan persediaan serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.
"RMK13 ialah manifestasi iltizam dan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasikan pendidikan negara melalui pendekatan baharu yang lebih radikal demi manfaat anak-anak Malaysia.
"KPM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan RMK13 yang turut memberikan tumpuan kepada agenda reformasi pendidikan yang menyeluruh berpandukan kerangka Malaysia MADANI," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial