KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan komitmen teguh Kerajaan MADANI dalam meletakkan rakyat sebagai keutamaan, menurut Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC).
Pengerusi BBC Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pengumuman itu bukan sahaja menunjukkan kesungguhan kerajaan, malah membuktikan kepekaan terhadap cabaran semasa yang dihadapi rakyat.
“Usaha ini selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI dengan menaikkan paras siling dan lantai dan segala usaha keras Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan ke dalam negara kini diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
“BBC percaya bahawa segala inisiatif yang diumumkan ini akan memberikan manfaat nyata kepada seluruh rakyat Malaysia, mengurangkan beban kos sara hidup dan pada masa yang sama turut memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah yang lebih mampan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri turut mengumumkan perluasan program Jualan Rahmah, pengekalan kadar tol serta penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 susulan subsidi bersasar.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi semua saluran utama termasuk RTM, Bernama serta platform media sosial seperti Facebook Live.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial