PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, sekali gus mencerminkan tekad kerajaan perpaduan untuk terus memelihara amanah dan kebajikan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pengumuman berkenaan juga membuktikan reformasi tidak semestinya membebankan, malah memberi keadilan dan kelegaan kepada majoriti rakyat.
"Ia adalah seruan penyatuan dan penghargaan terhadap semua yang menyumbang kepada pembangunan negara dari kampung hingga ke bandar, daripada penjawat awam hingga petani. Ini bukti jelas betapa Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, tetapi gerakan nasional yang kita jayakan bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah berkata Perdana Menteri memberi penghormatan yang selayaknya kepada rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang kestabilan negara serta menyatukan semua pihak untuk terus fokus pada pembaharuan menyeluruh demi masa depan generasi akan datang.
"Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju. Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal sedang berjalan atas landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama," katanya.
Fadillah berkata pengukuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku pertama 2025 yang mencecah 4.4 peratus dan unjuran 4.5 peratus bagi suku kedua, kenaikan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025 serta pengukuhan ringgit sebanyak lima peratus membuktikan kejayaan itu bukan sekadar angka di atas kertas.
Beliau berkata ia membuka ruang luas kepada pelaburan, peluang pekerjaan dan pelaksanaan dasar sosial yang menyasarkan kesejahteraan rakyat.
Justeru, beliau berkata langkah-langkah yang diumumkan juga membuktikan keberkesanan dasar MADANI dalam membela rakyat.
"Sebagai anak Sarawak, saya melihat sendiri makna sebenar dasar menyeluruh. Kenaikan harga lantai padi, insentif getah dan program akar umbi seperti Sejati MADANI menjawab keperluan rakyat luar bandar," katanya.
Selain itu, Fadillah berkata Kampung Angkat MADANI diperluas ke 200 kampung dan sasaran 1,000 Sekolah Angkat MADANI menjelang akhir 2025 pastinya memberi manfaat kepada semua negeri serta langkah memperluaskan Jualan Rahmah MADANI ke 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keberanian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyusun semula subsidi tenaga dan tarif elektrik dengan 85 peratus rakyat bayar bil elektrik lebih rendah hingga 14 peratus mulai bulan ini.
“Selain itu, subsidi RON95 akan disasarkan dengan harga diturunkan kepada RM1.99 seliter akan melihat penjimatan subsidi disalurkan semula kepada rakyat, bukan warga asing,” katanya.
Fadillah berkata sebagai Menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak, beliau turut menyambut baik pengumuman cuti umum tambahan pada 15 Sept ini sempena Hari Malaysia tahun ini.
"Ayuh semua marilah kita bersatu hati, berganding tenaga, terus mendukung agenda MADANI yang memberi makna kepada kehidupan rakyat. Dari kampung ke bandar, dari Semenanjung ke Borneo, semua rakyat berhak menikmati kemajuan yang adil dan saksama," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial