POLITIK

Kerjasama Erat Sarawak-Pusat Bukti GPS Kuasa Politik Dihormati – Abang Johari

22/07/2025 11:04 PM

MIRI, 22 Julai (Bernama) -- Jalinan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kuasa politik yang disegani serta dihormati.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelantikan anak Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, sebagai Timbalan Perdana Menteri serta kehadiran beberapa menteri dari negeri ini di peringkat Persekutuan merupakan satu pengiktirafan besar kepada Sarawak.

"Anak Sarawak tidak pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. Ini membuktikan bahawa Sarawak di bawah platform GPS adalah kuasa politik yang dihormati," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Sarawak Ke-62, di sini malam ini.

Sebagai Ketua Kerajaan GPS, beliau menegaskan kerjasama erat yang terjalin dengan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan demi kepentingan bersama negara dan Sarawak, selain yakin bahawa perjuangan memakmurkan negeri ini tidak menjejaskan usaha membangunkan negara.

"Pertambahan hasil Sarawak, termasuk menerusi cukai jualan negeri, tidak akan mengurangkan pendapatan negara kerana Kerajaan Persekutuan mempunyai ruang yang luas untuk menambah hasil tanpa membebankan rakyat," katanya.

Abang Johari turut membidas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan Sarawak sebagai keterlaluan atau tamak dalam menuntut haknya, sambil menegaskan bahawa semua tuntutan adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata GPS akan terus memperjuangkan hak Sarawak berdasarkan MA63 menerusi rundingan berterusan bersama Kerajaan Persekutuan.

"Sarawak sudah berjaya mendapatkan kembali sembilan hak yang termaktub di bawah MA63, dan usaha akan diteruskan bagi memastikan semua hak yang terhakis dapat dikembalikan," katanya.

Beliau turut mengimbas keputusan penting yang dibuat oleh pemimpin Sarawak 62 tahun lalu untuk menyertai pembentukan Malaysia demi keselamatan dan kemakmuran yang lebih terjamin.

Menurutnya Sarawak kini menyumbang hampir 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikannya antara penyumbang tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.

Abang Johari berkata Bank Dunia turut mengiktiraf Sarawak sebagai kawasan berpendapatan tinggi untuk tiga tahun berturut-turut bermula 2022, berdasarkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sebanyak RM73,100 pada 2024, melepasi nilai ambang RM63,800 yang ditetapkan.

"Status ini meletakkan Sarawak di kedudukan keempat selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta Pulau Pinang, sekali gus mengatasi Selangor.

"Alhamdulillah, berpandukan dasar ekonomi yang jelas, konkrit dan berpandangan jauh, Sarawak berjaya mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi lapan tahun lebih awal daripada sasaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan nilai murni dan warisan budaya yang menjadi asas perpaduan negeri ini.

“Nilai dan warisan inilah yang menjadikan kita lebih kukuh dan bersatu, sebagaimana dibuktikan menerusi penyertaan kita dalam Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa Sarawak berada di landasan yang tepat ke arah menjadi wilayah maju menjelang 2030.

Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta barisan menteri Kabinet Sarawak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan