KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman masih boleh menggunakan silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, selagi mereka menawarkan harga jualan berpatutan kepada pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 akan mempertimbangkan keperluan sebenar peniaga kecil berbeza dengan peraturan sedia ada yang mengehadkan penggunaan LPG bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa.
Beliau berkata satu sesi libat urus bersama pihak bekerpentingan akan dijalankan bermula esok hingga 31 Okt ini selari dengan pelaksanaan Op Gasak, bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan pindaan berkenaan.
“Dalam pindaan ini juga kita akan lihat mekanisme kawalan dalam konteks untuk memastikan subsidi tidak berlaku ketirisan terutama terkait penyeludupan dan penyelewengan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Armizan menghadiri Sesi Libat Urus PPKB (Pindaan) 2021 melibatkan persatuan peniaga makanan dan minuman di Sabah bagi mendapat pandangan berkaitan cadangan pindaan peraturan itu.
Armizan berkata maklum balas daripada peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman amat penting bagi mewujudkan pengurusan risiko agar ketirisan tidak berlaku seterusnya memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan terhadap subsidi rakyat.
Beliau mendedahkan terdapat kes pembelian gas LPG bersubsidi dalam kuantiti besar, dengan sebahagiannya digunakan untuk operasi premis perniagaan manakala selebihnya dijual semula kepada pihak lain pada harga tertentu, dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan.
"Justeru, kita perlu merangka mekanisme kawalan berkaitan isu silinder LPG bersubsidi," katanya sambil menggesa persatuan peniaga mengadakan sesi libat urus bersama ahli dan mengemukakan memorandum cadangan terus kepada kementerian.
Beliau berkata kementerian turut menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi menentukan definisi ‘harga rakyat’ yang sesuai dikenakan kepada pengguna, dengan merujuk kepada data perbelanjaan asas kehidupan wajar yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Sementara itu, Armizan berkata KPDN akan memanggil syarikat pengeluar ais dan pengeluar makanan sejuk beku di Semenanjung esok, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenaikan harga produk mereka.
"Apakah asasnya sama ada disebabkan kenaikan kos operasi, kos bahan mentah atau disebabkan SST (Cukai Perkhidmatan). Jika disebabkan oleh SST kita akan minta mereka memberi asas mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP).
"Apakah butiran atau komponen menyebabkan mereka bukan hanya melakukan pergerakan harga tetapi margin atau julat kepada kenaikan itu pun kita akan teliti," katanya.
Beliau mengulas mengenai isu yang tular di media sosial membabitkan kedua-dua syarikat berkenaan yang dikatakan menaikkan harga barang jualan baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial