AM

MPI Syor Kursi Akademik Kewartawanan Utusan Melayu Di Universiti Tempatan 

28/06/2025 08:29 PM

SUBANG JAYA, 28 Jun (Bernama) -- Institut Akhbar Malaysia (MPI) mencadangkan penubuhan Kursi Akademik Kewartawanan Utusan Melayu di universiti tempatan bagi memperkukuh kajian dan pemahaman terhadap sejarah kewartawanan negara, khususnya peranan penting yang dimainkan oleh akhbar paling lama di Malaysia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail berkata kursi ini bukan sahaja bertujuan untuk mendokumentasikan warisan Utusan Melayu, malah dimasukkan ke dalam silibus pengajian kewartawanan di institusi pengajian tinggi.

“Sejarah yang berlaku terhadap Utusan Melayu adalah sejarah negara, bukan sejarah kewartawanan sahaja sebab ia merekod segala petikan (perjalanan) sejarah negara.

“Sebab itu wajar golongan akademik dan pelajar memastikan bahawa dokumentasi ini ada di peringkat universiti,” katanya kepada pemberita selepas program Forum Kenangan Utusan Melayu di Subang Parade hari ini. 

Forum itu diadakan sempena Hari Ulang Tahun Akhbar Utusan Melayu Ke-86 dan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diraikan pada 29 Mei, dirasmikan oleh tokoh wartawan negara Tan Sri Johan Jaafar.

Ainol Amriz berkata MPI juga menggalakkan wartawan menulis secara aktif tentang pengalaman, perjuangan, sejarah ekonomi dan isu bahasa yang pernah dibawa oleh Utusan Melayu dalam e-jurnal kewartawanan yang telah dilancarkan oleh institut itu. 

Sementara itu, Johan berkata Utusan Melayu adalah sebuah akhbar yang bertahan daripada tahun 1930-an sehingga ke abad ke-21, dan sudah tentunya mempunyai sejarah penting.  

“Kalau kita ukur sampai hari ini, kemungkinan sudah 80 tahun sejarah Utusan Melayu. Jadi, sejarah ini adalah sejarah bangsa, sejarah negara dan sejarah kewartawanan termasuk tokoh-tokoh dalam dunia kewartawanan.

“Itu kelebihan Utusan Melayu. Ia berjaya sebagai perakam sejarah, meneliti isu dan mencatat peristiwa yang menjadi sebahagian daripada naratif pembinaan negara bangsa Malaysia, bermula daripada zaman sebelum perang sehinggalah ke zaman selepas kemerdekaan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan