MIRI, 23 Jun (Bernama) -- Ruang Daya Cipta (RDC), satu inisiatif pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan komuniti Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilancarkan di sini hari ini.
Majlis perasmian RDC Miri disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal dalam satu acara yang turut dihadiri pemegang taruh, rakan strategik, ahli akademik dan komuniti setempat.
YIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan RDC Miri dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, dengan YIM sebagai agensi pelaksana utama yang bertanggungjawab dalam penyediaan kemudahan, latihan serta program berkaitan STI.
“RDC berperanan sebagai platform komuniti yang menyediakan akses kepada kemudahan, peralatan dan latihan yang berkaitan dengan bidang STI. Melalui RDC, masyarakat tempatan berpeluang mengembangkan potensi daya cipta serta membangunkan penyelesaian inovatif yang relevan dan mampan,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, sebanyak 23 RDC telah diwujudkan di seluruh negara termasuk empat masing-masing di Sabah dan Johor, dua (Sarawak, Pahang, Kelantan, Selangor dan Perak) serta satu (Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka).
RDC Miri yang siap pada Oktober 2023 di Pustaka Negeri Sarawak Miri dilengkapi dengan kemudahan seperti komputer, pencetak 3D dan studio digital untuk menyokong pembinaan kemahiran teknologi dan kreativiti dalam kalangan komuniti.
Melalui pendekatan inovasi sosial, RDC memberi akses secara langsung kepada teknologi dan latihan, sekali gus membolehkan komuniti luar bandar seperti di Miri untuk menyertai dan memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital.
“Penubuhan fasiliti ini juga selaras dengan pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS) MOSTI yang menekankan pembinaan ekosistem STI yang inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, terutama di peringkat akar umbi,” menurut kenyataan itu.
RDC turut menyokong Teras 2 DIS iaitu pembudayaan dan pemerkasaan daya cipta, serta Teras 4 yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur inovasi sosial bersepadu di peringkat akar umbi.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina ekosistem inovasi sosial yang mampan, inklusif dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial