KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada tiga anak bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar, yang meninggal dunia pada 15 Feb lepas akibat masalah kesihatan kronik.
Bantuan berkenaan dihulurkan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili Anwar ketika menziarahi tiga kanak-kanak yatim piatu yang berusia 10 hingga 15 tahun itu di Seri Kembangan, Selangor.
“Saya meneruskan rutin Ziarah MADANI baru-baru ini dengan menziarahi tiga anak yatim piatu, yang merupakan anak kepada Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar, bekas wartawan Utusan Melayu yang telah kembali ke rahmatullah di Seri Kembangan, Selangor.
“Bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan salam takziah dan sedikit sumbangan sebagai tanda kasih dan simpati,” kata Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata anak Allahyarham, Nur Iman Zahra, 15, Nur Iman Damia, 13 dan Muhammad Daniel Iman, 10, kini berada di bawah jagaan adik Allahyarham selepas mereka kehilangan kedua-dua ibu bapa.
Ahmad Farhan turut mendoakan semoga kesemua anak Allahyarham terus diberikan kekuatan dan lindungan dalam menempuh perjalanan hidup yang panjang.
“Kita semua memikul tanggungjawab memastikan mereka tidak pernah merasa keseorangan,” katanya.
Sebelum ini, isteri Muhammad Basir yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan telah meninggal dunia pada 17 Okt 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial