KOTA BHARU, 2 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 25,000 pengunjung dijangka menghadiri Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Kelantan yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada 7 hingga 9 Ogos ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata bertemakan ‘Sains, Teknologi dan Inovasi Untuk Kesejahteraan Rakyat’, program berkenaan akan berkonsepkan karnival dan penyampaian perkhidmatan meliputi lapan komponen teras yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Justeru, saya ingin mengambil kesempatan menyeru masyarakat di negeri ini untuk bersama-sama hadir menyertai pelbagai aktiviti disediakan sekali gus memeriahkan lagi PMR 2025 negeri Kelantan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita MADANI X PMR dan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Sekolah-Sekolah Kota Bharu di sini hari ini.
Karnival Kita MADANI tersebut adalah kali keenam dianjurkan oleh Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) menerusi inisiatif program turun padang dan sesi libat urus antara jabatan kerajaan dengan masyarakat setempat dalam suasana santai, mesra dan meriah.
Karnival itu juga antara platform strategik Kementerian Komunikasi menerusi JaPen dalam usaha menyampaikan maklumat, dasar-dasar serta inisiatif kerajaan kepada komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti santai dan mesra rakyat diadakan seperti gotong-royong, pertandingan mewarna dan gubahan, sukan rakyat, kenduri rakyat, bintang patriotik, seloka bersahut dan persembahan dikir barat.
Selain itu, turut diadakan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang serta pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) peringkat negeri Kelantan melibatkan penyertaan kelab motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson Kelantan serta perarakan beca berhias bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial