LABUAN, 11 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan projek naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Labuan kini mendahului jadual, dengan kemajuan fizikal mencapai 82 peratus berbanding 73 peratus yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata projek bernilai RM21,398,715.10 itu merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan bagi menambah baik kemudahan sukan dan belia di pulau bebas cukai ini.
“Tapak projek diserahkan kepada kontraktor pada 1 Dis 2021, dengan tarikh siap sepenuhnya dijadualkan pada 10 Dis 2025,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut beliau, skop kerja projek itu melibatkan pelbagai komponen naik taraf dan pembaikan, termasuk pembinaan semula serta penambahbaikan bangunan dewan utama dan stadium, pembaikan struktur, penaiktarafan padang bola sepak dan trek larian, serta kemudahan olahraga.
“Projek ini turut merangkumi kerja-kerja meroboh kolam renang lama, membaik pulih gelanggang tenis dan gelanggang terbuka, menggantikan bumbung tempat duduk utama stadium serta menaik taraf beberapa kemudahan sokongan lain,” katanya.
Mohd Faizul berkata kemajuan positif projek ini mencerminkan pengurusan projek yang cekap, komitmen tinggi daripada pihak kontraktor, serta kerjasama baik antara JKR Labuan dan Jabatan Belia dan Sukan Labuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial