AM

Malaysia Tegas Perkukuh Daya Tahan Pendidikan Melalui Dasar PRB 2030 - Ahmad Zahid

06/06/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh daya tahan sistem pendidikan terhadap bencana melalui pelancaran Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, yang diselaraskan dengan Kerangka Sendai – perjanjian antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pengurangan risiko bencana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu disampaikan beliau dalam sesi Meja Bulat Menteri bertemakan “Keselamatan Sekolah” sempena Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana di Geneva, Switzerland, hari ini.

“Dasar ini memberi tumpuan kepada pengurangan risiko secara menyeluruh merentas semua sektor, termasuk keselamatan dan kelangsungan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata antara inisiatif utama yang dikongsi ialah pembangunan Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) oleh Kementerian Pendidikan, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), yang akan memanfaatkan hampir 7,800 sekolah rendah di seluruh negara.

Beliau berkata modul berkenaan menekankan pembelajaran secara pengalaman, latihan amali dan penglibatan pelajar secara aktif, selaras dengan kerangka ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER).

“Bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh, Malaysia juga meneroka kerjasama strategik bersama badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Pada masa sama, Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) oleh NADMA telah berjaya melibatkan hampir 44,000 rakyat Malaysia termasuk lebih 12,000 belia sepanjang tahun lepas,” katanya.

Ahmad Zahid turut berkongsi inisiatif Malaysia untuk membina Pusat Pemindahan Kekal (PPKB) di kawasan sekolah berisiko tinggi, dengan peruntukan sebanyak RM135 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Pusat berkenaan, katanya akan berfungsi sebagai tempat perlindungan semasa bencana dan pusat pembelajaran komuniti pada waktu biasa.

“Malaysia turut menzahirkan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dan membina kerjasama rentas negara dalam usaha memperkukuh keselamatan sekolah secara global.

“Kami percaya bahawa pelaburan dalam daya tahan hari ini adalah perlindungan terbaik untuk masa depan anak-anak kita,” katanya yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Kelapan Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana di Geneva.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan