KANGAR, 9 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelakkan tabiat merokok atau sebarang bahan terlarang.
Baginda juga menitahkan rakyat meningkatkan tahap kesedaran berkaitan kesihatan kerana perkara itu merupakan aset sangat bernilai dan mesti dijaga sebaiknya untuk kekal sihat sepanjang hayat.
“Saya ingin melihat individu, keluarga dan komuniti di Perlis yang prihatin dan mengambil berat status kesihatan diri masing-masing dan keluarga tersayang,” titah baginda semasa merasmikan Karnival Sihat Milik Semua di Dewan 2020 di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Karnival dua hari bermula hari ini, antara program sisipan bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menggesa rakyat menjalani pemeriksaan kesihatan berkala serta mengikut nasihat profesional kesihatan dan mematuhi rawatan disarankan supaya status kesihatan sentiasa berada pada tahap baik.
Raja Muda Perlis juga bertitah perlu ada program intervensi berstruktur yang boleh membimbing rakyat di negeri itu dengan kerjasama semua agensi ke arah ‘Perlis Sihat Sejahtera’.
”Selari dengan inisiatif Perlis Go-Digital, saya amat berharap semua perkhidmatan disediakan jabatan kerajaan di negeri ini dapat digembleng sepenuhnya ke arah merealisasikan hasrat ini secara lebih menyeluruh termasuk dalam sektor kesihatan.
“Saya juga percaya menerusi pelaksanaan inisiatif ini, rekod perubatan individu pada masa akan datang boleh diakses dengan pantas melalui aplikasi bersepadu, sekali gus memudahkan perancangan penjagaan kesihatan secara lebih efisien dan holistik,” titah baginda.
Baginda bertitah bahan advokasi kesihatan terkini boleh dibangunkan dalam bentuk lebih interaktif dan mudah dicapai orang ramai bagi memperkukuh literasi kesihatan serta mendorong perubahan tingkah laku positif dalam kalangan kumpulan sasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial