AM

Empat Pemimpin Utama Dunia Dijangka Hadir Ke Sidang Kemuncak ASEAN - PM Anwar

08/08/2025 02:24 PM

CYBERJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa adalah antara pemimpin dunia dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, berkata pengesahan yang positif sudah diterima daripada Lula dan Ramaphosa, manakala Trump telah menyatakan kesediaannya untuk hadir menerusi perbualan telefon baru-baru ini.

"Memastikan kehadiran mereka hanyalah langkah pertama. Ujian yang lebih besar ialah memastikan mereka meninggalkan Malaysia dan ASEAN dengan rasa bahawa masa mereka di sini benar-benar bermakna. Kita perlu pastikan kunjungan mereka membuahkan hasil yang bernilai kekal. Seluruh dunia akan memandang ke arah kita. Justeru, kita perlu menjayakannya dengan cemerlang," kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari ASEAN ke-58 di sini hari ini, yang diadakan bersempena dengan ulang tahun penubuhan ASEAN, bertemakan "Ke Arah Masa Depan ASEAN yang Inklusif dan Mampan".

Perdana Menteri berkata ulang tahun itu ialah saat untuk menilai semula dan merenung sejauh mana  kemajuan yang dicapai blok serantau ini dan perjalanan yang bakal ditempuhi.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi 2025, akan menganjurkan sidang kemuncak di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan" di Kuala Lumpur pada Oktober ini, menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota dan rakan dialog untuk membincangkan isu keselamatan serantau, kerjasama ekonomi dan masalah global yang mendesak.

Anwar berkata visi dan sumbangan pemimpin terdahulu, yang melihat isu melangkaui kepentingan domestik untuk mempertimbangkan keperluan negara jiran, rantau dan dunia, kekal relevan walaupun berdepan cabaran selepas merdeka dan ketegangan geopolitik.

"Dan saya berani katakan tanpa sebarang keterlaluan bahawa pengasas ASEAN akan melihat kepada kemajuan kita dengan rasa bangga," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata ASEAN tidak boleh menganggap bahawa blok itu telah melupakan motivasi dan kebimbangan mereka yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967, iaitu Adam Malik (Indonesia), Tun Abdul Razak (Malaysia), Narciso Ramos (Filipina), S. Rajaratnam (Singapura) dan Thanat Khoman (Thailand).

"Bapa-bapa pengasas ASEAN memahami bahawa tugas pertama rantau ini ialah memastikan bahawa negara Asia Tenggara dapat hidup bersama-sama dalam suasana harmoni dan bekerjasama. Mereka juga menyedari bahawa Asia Tenggara perlu memikul tanggungjawab utama untuk keamanan, keselamatan dan kemakmurannya sendiri. Keyakinan itu masih berdegup dalam hati ASEAN," kata beliau sambil menambah prinsip itu kekal relevan hingga kini.

Anwar berkata keamanan antara negara ialah asas kepada komuniti serantau dan tidak boleh mengambil mudah perkara itu, serta mengabaikan tanggungjawab untuk membentuk penyelesaian serantau bagi masalah di rantau ini.

Merujuk kepada ketegangan di sepanjang sempadan Thailand–Kemboja baru-baru ini, Anwar berkata situasi itu ialah peringatan tentang betapa pantasnya krisis boleh memuncak jika dibiarkan tanpa penyelesaian.

Perdana Menteri berkata perjanjian gencatan senjata antara dua negara jiran itu berjaya dicapai hasil sokongan penuh dan solidariti seluruh pemimpin ASEAN.

"Sebagai Pengerusi, Malaysia bekerja secara konstruktif untuk memudah cara rundingan antara dua negara. Saya ingin mengiktiraf sokongan dan mandat daripada sahabat-sahabat saya, Sultan Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah), presiden dan perdana menteri di ASEAN yang sentiasa memberikan sokongan penuh dan pengesahan mereka, dan inilah pencapaian yang luar biasa," kata beliau.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand dengan penandatanganan Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas – Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand – oleh Menteri Luar masing-masing.

Blok serantau itu dibentuk untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan kerjasama serantau di tengah-tengah cabaran pascakolonial dan ketegangan Perang Dingin. Keanggotaannya kini berkembang kepada 10 negara, dengan Brunei menyertai pada 1984, Vietnam (1995), Laos dan Myanmar (1997) dan Kemboja (1999). Timor-Leste telah diterima secara prinsip pada 2022 dan kini dalam proses keanggotaan penuh.

Hari ini, ASEAN mempunyai gabungan populasi lebih 680 juta orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah lebih USD3.6 trilion (2024), menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia. ASEAN beroperasi secara konsensus dan tidak campur tangan, menumpukan kepada kerjasama politik–keselamatan, integrasi ekonomi dan kerjasama sosiobudaya di bawah kerangka Komuniti ASEAN pada 2015.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan