AM

KAWAT Julung Kali Anjur Program Korban Sempena Aidiladiladha

07/06/2025 05:29 PM

KUALA NERUS, 7 Jun (Bernama) -- Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) buat julung kali menganjurkan program ibadah korban sempena Aidiladha dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang, di sini.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Persatuan Homestay Teluk Ketapang, pengurusan san Masjid Al-Ansar Kampung Teluk Ketapang, Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) Kem Sri Pantai dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Presiden KAWAT, Ahmad Safri Husnaini Mohamad berkata seramai 300 sukarelawan terdiri daripada anggota tentera, ahli KAWAT, pelajar antarabangsa dari UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), selain komuniti setempat bergotong-royong menjayakan program itu.

“Ibadah korban melibatkan 10 ekor lembu ini turut menyaksikan penyertaan pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat. Daging korban diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan sekitar daerah ini serta sukarelawan yang membantu sejak awal pagi.

“Usaha ini bukan sahaja mempererat silaturahim, malah membuka ruang kepada pelajar antarabangsa memahami budaya dan nilai masyarakat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di pekarangan Masjid Al-Ansar di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa UniSZA Iram Shehzadu Sabir, 37, dari Islamabad, Pakistan berkata sebanyak 36 pelajar dari kampus Gong Badak yang berasal dari pelbagai negara menghadiri program itu.

Beliau berkata walaupun sambutan Aidiladha di Malaysia sedikit berbeza berbanding negara kelahirannya, namun kemeriahan perayaan itu tetap dirasai.

“Ini kali ketiga saya menyambut Aidiladha di Malaysia dan pengalaman kali ini lebih istimewa kerana turut disertai pihak tentera.Walaupun budaya berbeza, kami tetap dapat meraikan perayaan ini bersama dalam suasana harmoni,” katanya.

Bagi Zainab Muhammad, 29, dari Nigeria yang fasih bertutur Bahasa Melayu berkata beliau amat gembira kerana dapat membantu masyarakat setempat melakukan ibadah korban.

"Ini adalah tahun kedua saya di Malaysia. Sambutan Aidiladha di sini sungguh meriah. Mereka bukan sekadar mengagihkan daging, tetapi kaum wanita turut mengambil bahagian dengan memasak dan ini  menambah kemeriahan suasana," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan