AM

Projek Di Bawah RMK13 Dipantau Berkala, Elak Kelewatan - KSN

02/08/2025 10:07 AM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Setiap projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dipantau secara berkala bagi memastikan tiada sebarang kelewatan dalam pelaksanaannya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Sehubungan itu, beliau berkata pemantauan projek di bawah RMK13 akan dibuat bersama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi dengan pelaporan mengenainya dibuat dua kali setahun.

“Kali ini kita akan betul-betul pastikan bahawa perjalanannya (RMK13) sebagaimana yang dirancang sebab ia melibatkan tempoh yang panjang sampai 2030.

“Semua projek yang diluluskan kena dilaksanakan segera sebab bila berlaku kelewatan akan menyebabkan rakyat hampa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) 2025 Putrajaya di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata beliau sendiri akan turun meninjau serta membuat lawatan mengejut di setiap projek di bawah RMK13.

“Tujuan kita ni berkhidmat untuk rakyat dan kita sepatutnya mengembirakan rakyat. Jadi kita kena jalankan pembangunan ini dengan segera, tidak boleh berlengah dan (dilaksana) tanpa birokrasi,” katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis lepas berkata mekanisme pemantauan RMK13 akan ditambah baik melalui Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD).

“Struktur tadbir urus RMK13 pula akan digerakkan secara berperingkat sehinggalah pelaporan ke Jemaah Menteri,” katanya.

Menerusi RMK13, Anwar berkata projek infrastruktur dan kemudahan awam melibatkan tebatan banjir serta peningkatan kebolehcapaian jalan raya antara inisiatif kemudahan rakyat yang diketengahkan bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Beliau berkata sebanyak RM20 bilion telah diperuntukkan bagi melaksanakan 103 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk mengurangkan risiko dan impak bencana berkenaan.

Selain itu, satu juta unit rumah mampu milik akan dibina kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemaju swasta dalam tempoh 2026 hingga 2035 bagi membolehkan sebanyak mungkin rakyat mendiami rumah selesa dan selamat.

Sementara itu, Shamsul Azri merakamkan penghargaan kepada kira-kira 12,000 peserta yang  menjayakan Larian MAPPA XX 2025 Putrajaya hari ini.

“Rakyat sihat, negara makmur. Jom aktif dan bersukan,” katanya. 

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan