KANGAR, 1 Ogos (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka mengukuhkan kedudukan Perlis dan Kedah sebagai hab perindustrian dan logistik utama yang menghubungkan perdagangan rentas sempadan Malaysia–Thailand.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata infrastruktur logistik yang diumumkan di bawah RMK13 amat penting bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kos operasi perniagaan, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pembuatan berorientasikan eksport di Wilayah Utara.
"Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyambut baik RMK13 yang memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur logistik di Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam (Kedah)," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Mohamad Haris berkata perkara itu juga selari dengan aspirasi RMK13 untuk memperkukuh koridor logistik utara di bawah inisiatif pembangunan sempadan menerusi Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT–GT) serta meningkatkan perdagangan dua hala, khususnya bagi produk berteknologi tinggi.
Sementara itu, beliau berkata ketika ini NCER sedang membangunkan infrastruktur luaran bagi menyokong projek PIP melibatkan pembinaan Pakej 1, iaitu Bonded Road dan Pakej 2 Railway Spurline dan Jejambat.
"Pembinaan Pakej 1 sepanjang 6.5 kilometer (km) telah siap sepenuhnya manakala Pakej 2 mencapai tahap 93.6 peratus," katanya.
Mohamad Haris berkata kedudukan PIP yang terletak bersebelahan dengan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dekat Padang Besar akan mewujudkan sinergi logistik-perindustrian yang kukuh.
"NCER akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke CVIA selaras dengan matlamat RMK13 untuk menyeimbangkan kemajuan ekonomi wilayah dan mengukuhkan pembangunan desa," katanya.
Di bawah RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, beberapa projek infrastruktur bagi memperkukuh keterhubungan dan ekonomi rentas sempadan akan diteruskan, termasuk menaik taraf PIP dan ICQS Bukit Kayu Hitam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial