AM

RMK13 Fokus Pembangunan Pelancongan Berpendapatan Tinggi Dan Lestari

31/07/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menumpukan pembangunan sektor pelancongan berpendapatan tinggi dan lestari melalui pewujudan zon pelancongan khusus, kelestarian produk pelancongan serta memanfaatkan aset seni, budaya dan warisan.

Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan hari ini, kerajaan akan membangunkan zon pelaburan pelancongan sebagai langkah strategik untuk menyediakan produk baharu yang mampu menarik pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak swasta dan koperasi,” menurut dokumen RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”.

Setakat Jun 2025, sebanyak 43 kawasan telah dikenal pasti berpotensi untuk pelaksanaan zon pelancongan tersebut, yang turut disokong melalui peningkatan ketersambungan fizikal darat, laut dan udara serta kesalinghubungan digital.

Selain itu, pelancongan berasaskan inap desa akan diperkukuh bagi meningkatkan peluang penjanaan pendapatan penduduk khususnya di kawasan luar bandar.

Dokumen itu turut menyatakan bahawa pengukuran dan pemantauan tahap kelestarian kawasan pelancongan akan diperkenalkan berdasarkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), bagi memastikan destinasi terpilih memenuhi piawaian antarabangsa.

“Pengiktirafan destinasi pelancongan lestari ini akan dimanfaatkan untuk promosi, menarik pelaburan dan menyokong pembangunan komuniti setempat,” menurut dokumen itu.

Selain itu, aset seni, budaya dan warisan juga akan diberikan suntikan inovasi baharu bagi merancakkan industri pelancongan dan menyokong pembangunan ekonomi jingga.

Antara teknologi akan dimanfaatkan termasuk realiti terimbuh (AR) dan realiti maya, khususnya dalam pembangunan kandungan kreatif yang dapat memperkaya pengalaman pelancong.

Kerajaan turut merancang menaik taraf kawasan bersejarah dan tapak warisan penting seperti Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong di Perak, tapak arkeologi Sungai Batu dan Lembah Bujang di Kedah, Gua Bewah di Terengganu serta Warisan KL di ibu negara.

Pada masa sama, produk pelancongan pantai dan pulau akan diperkukuh bagi meningkatkan daya tarikan destinasi pelancongan lestari, selaras dengan pembangunan ekonomi biru negara.

“Tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan terhadap produk pelancongan yang tidak memenuhi piawaian lestari antarabangsa berdasarkan International Network of Sustainable Tourism Observatories,” menurut dokumen itu.

Dokumen RMK13 turut merekodkan pemulihan penuh sektor pelancongan dalam RMK12, dengan perbelanjaan pelancong asing meningkat kepada RM102.2 bilion pada 2024, dengan peningkatan ketibaan pelancong asing kepada 25 juta.

Selain itu, industri pelancongan marin turut menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah pengunjung ke taman laut di seluruh negara meningkat daripada hanya 20,000 pengunjung pada 2021 kepada 586,000 pengunjung pada 2024.

Jumlah pelawat domestik juga berkembang pada kadar 18.6 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2024,mencerminkan pemulihan menyeluruh sektor pelancongan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan