KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut menggariskan komitmen kerajaan untuk memperkasa sosioekonomi masyarakat India menerusi pendekatan bersepadu dan terangkum selaras dengan semangat MADANI, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata strategi RMK13 dirangka bagi menambah baik kualiti hidup dan meningkatkan mobiliti sosial masyarakat India khususnya golongan berpendapatan rendah menerusi pelbagai inisiatif yang digariskan dalam Pelan Tindakan Masyarakat India.
“RMK13 memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti dan bakat termasuk dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan peluang kerjaya, di samping penambahbaikan infrastruktur asas, bantuan baik pulih rumah dan akses kepada perumahan,” katanya dalam kenyataan susulan pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata usaha turut dipacu menerusi pemerkasaan ekonomi dan sosial, pemantapan tadbir urus komuniti serta peluasan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bagi meningkatkan ketepatan sasaran serta keberkesanan program.
Ramanan berkata antara program sedia ada yang diteruskan termasuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) manakala Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) direka secara holistik untuk memperkasakan pendidikan, keusahawanan dan kesejahteraan sosial.
Pelaksanaan Projek Pembangunan Fizikal di Perkampungan Masyarakat India turut dirancang.
Mengulas Tumpuan 2 RMK13 yang menyasarkan pertumbuhan industri bernilai tinggi dan sektor strategik, beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkenalkan sistem kawal selia kendiri bagi industri francais bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan daya saing.
“Dokumen RMK13 ini dirangka secara halus tanpa meminggirkan keperluan golongan sasar termasuk masyarakat India. Ia menyumbang kepada aspirasi Ekonomi MADANI untuk menaikkan lantai, menaikkan siling dan memperkukuh tadbir urus ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” berteraskan tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI serta peralihan ke arah negara berasaskan AI.
Pelan pembangunan lima tahun itu menyasarkan pembentukan masyarakat inklusif dan progresif serta menjadikan Malaysia peneraju teknologi digital serantau melalui inovasi serta produk dan perkhidmatan Made by Malaysia.
Empat tonggak utama digariskan di bawah RMK13 ialah meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial