AM

RMK13: Pertanian Fokus Tangani Kebergantungan Makanan Import - PM Anwar

31/07/2025 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat, kerajaan bertekad dalam menjamin pengupayaan rakyat, menaikkan taraf kehidupan sosial serta memastikan akses kepada keperluan asas seperti makanan, perumahan serta kesihatan yang mampu milik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyedari kebergantungan tinggi negara kepada sumber makanan import boleh menjadi ancaman sekiranya bekalan tergganggu, Anwar berkata bagi mengurangkan risiko tersebut, penghasilan produk makanan dalam negara akan dipertingkatkan.

“Tumpuan khusus diberikan untuk membangunkan pertanian berskala besar di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah dan Perlis, serta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan akan dipercepat dan diperluas, termasuk kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.

Selain itu Anwar berkata aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI), adaptasi pertanian pintar dan ladang satelit akan terus dipergiat menerusi kerjasama erat antara petani termasuk agropreneur muda, institusi penyelidikan dan pihak industri.

Perdana Menteri berkata sumber import makanan negara akan dipelbagaikan bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara tertentu, manakala kawal selia kemasukan makanan ke dalam negara akan diperketat bagi menjamin keselamatan dan kualiti.

“Bagi menambah baik rantaian bekalan makanan secara menyeluruh, kecekapan infrastruktur pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran serta sektor peruncitan berskala kecil dan sederhana akan diperkukuh,” katanya.

Anwar turut mengetengahkan keperluan mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian yang sering dianggap sebagai kegiatan sara diri semata-mata.

“Minda rakyat harus diubah daripada melihat pertanian hanya salah satu kegiatan sara diri kepada peluang menjana ekonomi yang sangat menguntungkan. Segala ikhtiar ini akan meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan