POLITIK

Konflik Thailand–Kemboja: Kejayaan PM Jadi Orang Tengah Harus Dirai, Dibanggakan

30/07/2025 07:25 PM

ALOR SETAR, 30 Julai (Bernama) -- Kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi orang tengah dalam persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dengan Kemboja seharusnya diraikan serta dibanggakan, dan bukannya dicemuh atau diperlekeh.

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata kejayaan itu mempamerkan kewibawaan dan kepimpinan Perdana Menteri ketika negara berperanan sebagai Pengerusi ASEAN.

“Ini kejayaan diplomatik bersejarah yang sepatutnya rakyat Malaysia banggakan, tetapi ada pula seorang Ahli Parlimen yang bertindak menghina dan memperlekeh usaha kerajaan dan Perdana Menteri.

“Tindakan ini bukan sahaja satu penghinaan kepada Perdana Menteri, tetapi juga memberikan kesan kepada imej negara dan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang terlibat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang membuat hantaran di laman sosial tentang konflik bersenjata antara Thailand dengan Kemboja, yang didakwa memperlekeh usaha dan peranan dimainkan oleh Perdana Menteri.

Hantaran itu turut disertakan dengan tangkap layar laporan berita mengenai konflik Thailand dan Kemboja, sekali gus menerima kecaman orang ramai.

Mengulas lanjut, Zuraidi berkata tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Ahmad Fadhli kerana perbuatan Ahli Parlimen Pasir Mas itu disifatkan melampau dan tidak beretika.

Beliau berkata sebanyak 10 laporan polis telah dibuat oleh pihaknya bersama tujuh Ketua-ketua Cabang PKR Kedah, supaya polis dapat melakukan siasatan terhadap pemimpin PAS itu.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Padang Terap Mohd Tahar Hussin turut mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Ahmad Fadhli yang disifatkan telah menyebabkan kesan negatif kepada imej negara.

“Ini merupakan satu kejayaan yang harus dibanggakan, bukan menjadi bahan sindiran kerana ia melibatkan soal keselamatan, hubungan diplomatik dan kemanusiaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan