PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak memandang remeh nilai bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, namun ia amat bermakna buat rakyat di luar bandar serta golongan berpendapatan rendah.
“(Semua kritik) RM100 saja, (tapi) kamu gaji RM40,000, RM20,000 sebulan. (Memang) RM100 itu tak ada apa, tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung (ada manfaatnya),” kata Anwar ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, bantuan tunai itu boleh mencecah RM400 dan jika ditambah dengan Sumbangan Tunai Rahmah sedia ada, jumlahnya boleh meningkat hingga RM700.
“…jadi jangan remehkan usaha kerana itu upaya kita (kerajaan) untuk tambah peruntukan sedia ada, daripada RM13 bilion ke RM15 bilion (tambahan RM2 bilion),” kata Anwar.
Anwar dalam pada itu turut membidas kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan mengenai rasionalisasi subsidi petrol.
“Ketua parti pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) sebut pasal apa nak bebankan mereka (warga asing)... saya rasa aneh, what do you do (apa kamu buat)? Boleh tegur dan kritik tiada masalah, (tapi) bukan kita dera mereka, bukan rampas hak mereka.
“Kita tarik, tak bagi subsidi sebab di negara dia (warga asing) harga minyak lebih tinggi daripada RM2.50. Ya, di Singapura,Thailand, Indonesia semua lebih tinggi. Kita tarik subsidi itu kepada warga asing, itu pun salah juga,” tegas Anwar.
Perdana Menteri semalam mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat, termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga petrol RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial