KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter disambut dengan rasa lega dan syukur oleh rakyat yang menganggap langkah itu sebagai ‘nafas baharu’ dalam meringankan beban kos sara hidup.
Rata-rata pengguna yang ditemui Bernama berkata penjimatan, walaupun kecil secara harian, memberi impak besar apabila dikira secara mingguan dan bulanan sekali gus membantu mereka menguruskan belanjawan isi rumah dengan lebih baik.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff berkata penurunan harga RON95 adalah satu berita baik dan melegakan, khususnya selepas wujud kebimbangan rakyat terhadap pelaksanaan penyasaran subsidi.
“Harga bukan sahaja tidak naik, malah turun. Ini bukti kerajaan mendengar suara rakyat dan berusaha meringankan beban mereka,” katanya.
Di Perlis, guru tadika swasta Nur Ayuni Syafini Shahalim, 25, berkata pengurangan harga itu memberi kesan langsung kepada perbelanjaan hariannya untuk berulang-alik dari Kodiang, Jitra ke tempat kerja di Arau.
“Saya bersyukur kerana sebagai pekerja berpendapatan sederhana, setiap ringgit yang dijimatkan amat bermakna,” katanya.
Di Pulau Pinang, penghantar makanan Mohd Bukhari Mohd Noor, 41, berkata penjimatan RON95 sebanyak enam sen seliter memberi makna yang besar memandangkan petrol adalah keperluan utama dalam pekerjaan harian.
“Wang lebihan ini boleh diguna untuk belanja keluarga dan rawatan ibu bapa saya,” kata pekerja sektor gig itu.
Sementara itu, di Johor, penjawat awam Syarifah Suhaila Tahir, 37, berkata langkah kerajaan menurunkan harga RON95 perlu dilihat sebagai penghargaan kepada rakyat yang setia menyokong usaha reformasi kerajaan.
“Kita gunakan (kenderaan) setiap hari, sudah tentu kesannya besar,” katanya.
Bagi mahasiswa, Muhammad Aiman Haziq Mohd Alias, 22, dan K. Keshveni, 23, langkah itu memberi ruang kepada pelajar universiti seperti mereka menyusun semula bajet bulanan untuk pengajian, makanan dan pengangkutan.
“Saya menunggang motosikal ke kampus setiap hari, jadi bila harga minyak turun, belanja saya turut turun,” kata Aiman.
Di Pahang, Daniel Faiz Mohd Amir, 20, yang bekerja dalam sektor penghantaran makanan berkata langkah itu bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan petrol, malah membantu dari segi penyelenggaraan motosikal.
“Inisiatif ini membolehkan saya bekerja dengan lebih selesa tanpa terlalu risau kos operasi,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rashid Ismail, 64, yang berasal dari Kampung Buluh, Hulu Terengganu berkata inisiatif kerajaan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter memberi manfaat besar kepada rakyat.
Beliau berkata ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan bebanan hidup rakyat melalui pelbagai cara dan aspek kehidupan.
"Jika dibandingkan penduduk bandar, memanglah penggunaan petrol kami orang kampung agak kurang. Namun inisiatif ini tetap ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana perbelanjaan untuk petrol boleh dijimatkan dan digunakan untuk keperluan lain," katanya.
Anwar hari ini mengumumkan harga RON95 akan diturunkan susulan rancangan penyasaran subsidi bahan api itu, sekali gus memberi jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas.
“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
“Ini tentunya beri manfaat kepada kira-kira 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” kata beliau ketika mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran media utama hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial