BATU KAWAN, 23 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan beberapa program oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kampung Pulau Aman di sini meningkatkan kesejahteraan hidup dan akses kepada bantuan, sekali gus membina kepercayaan serta keyakinan terhadap inisiatif kerajaan.
Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dilaksanakan sepanjang tahun lepas dan Program Jalinan Kasih Bersama Penduduk Kampung Pulau Aman selama dua hari bermula semalam juga merupakan manifestasi komitmen berterusan terhadap pembangunan komuniti luar bandar.
JPA memaklumkan Program Jalinan Kasih Bersama Penduduk Kampung Pulau Aman memberi penekanan bahawa agensi kerajaan sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat, khususnya penduduk luar bandar.
"Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada Program KAM yang telah dilaksanakan di kampung itu sepanjang 2024. Walaupun KAM pertama telah selesai, JPA tetap meneruskan usaha menyantuni komuniti ini menerusi pengisian berimpak tinggi yang menggabungkan nilai keprihatinan, ihsan dan kolaborasi antara agensi," menurut JPA dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPA Jalil Husni Yahaya merasmikan Program Jalinan Kasih Bersama Penduduk Kampung Pulau Aman yang membabitkan beberapa aktiviti termasuk pertandingan memancing, eksplorasi denai alam, gotong-royong dan interaksi komuniti serta penyampaian sumbangan musa’adah kepada golongan asnaf dan memerlukan.
Program itu dilaksanakan secara kolaboratif dengan Kelab JPA, Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Angkatan Pertahanan Awam Pulau Pinang, Pejabat Pembangunan Negeri dan Komuniti Kampung Pulau Aman.
Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan Whole of Government.
Kampung Pulau Aman yang dijadikan Kampung Angkat MADANI oleh JPA merupakan sebuah perkampungan nelayan tradisional seluas 116.5 hektar, terletak kira-kira lapan kilometer dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan didiami 250 penduduk daripada 47 keluarga.
Pulau itu dihubungkan jalan laut melalui Jeti Batu Musang di Batu Kawan dengan menaiki bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial