KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Maxis Bhd (Maxis) hari ini melancarkan program perdana 18 bulan Menuju Gemilang 2025 sebagai pengembangan kepada inisiatif komuniti utamanya, eKelas untuk memperkasakan pelajar daripada golongan B40 ke arah kejayaan akademik dan pendidikan tinggi.
Maxis dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan mewujudkan laluan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mencapai peluang pendidikan tertinggi.
“Program ini dibina berasaskan empat tonggak utama untuk menyediakan pembangunan murid yang komprehensif. Antara inisiatif yang disediakan termasuk sokongan akademik untuk kecemerlangan SPM, latihan kepimpinan, pembinaan komuniti dan panduan permohonan biasiswa ke peringkat pengajian tinggi,” menurut kenyataan itu hari ini.
Majlis pelancaran program disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas yang dihadiri pelajar terpilih daripada kohort perintis dan guru dengan keseluruhan kohort melibatkan 240 pelajar cemerlang Tingkatan 4 dan 5 daripada 20 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.
Sebanyak 20 sekolah berkenaan dipilih khas oleh KPM untuk program perdana ini dan para peserta dikenal pasti daripada kumpulan pelajar yang layak secara kompetitif berdasarkan pencapaian akademik yang memberangsangkan, penyertaan aktif dalam aktiviti kokurikulum serta ciri-ciri kepimpinan.
Maxis memaklumkan sepanjang program Menuju Gemilang, pelajar terlibat diminta menyatakan aspirasi akademik dan masa depan mereka bagi mewujudkan penanda aras kejayaan pada akhir sesi program, dengan setiap peserta membuat ikrar komitmen dalam perjalanan mereka menuju kecemerlangan akademik dan perkembangan peribadi.
Dalam persiapan menghadapi peperiksaan SPM, pelajar akan mendapat tutorial tambahan dalam lapan mata pelajaran, iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia serta Biologi. Mereka juga akan menjalani peperiksaan percubaan bagi lapan mata pelajaran berkenaan, bersama sesi bengkel Pecutan SPM pada fasa akhir.
“Untuk memastikan setiap peserta mempunyai kelengkapan untuk berjaya, Maxis turut menyediakan sebuah komputer riba kepada setiap murid untuk tempoh 18 bulan, yang akan menjadi milik mereka setelah berjaya menamatkan program.
"Sumbangan ini adalah lanjutan daripada komitmen berterusan Maxis untuk membekalkan murid di komuniti luar bandar dan kurang berkemampuan dengan peralatan yang diperlukan untuk pembelajaran digital, memastikan mereka dapat memperoleh akses kepada sumber seperti platform eKelas Maxis," menurut kenyataan itu.
Program eKelas adalah inisiatif pembelajaran digital selepas waktu persekolahan yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik, terutamanya golongan kurang berkemampuan dan menawarkan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital komprehensif melalui portal web dan aplikasi mudah alih. Pada tahun ini, kurikulum telah diperluaskan untuk merangkumi modul Kecerdasan Buatan Generatif untuk memastikan murid bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Sementara itu, Zainal berkata kerjasama dengan Maxis mengukuhkan rangka kerja pendidikan sedia ada dengan menyediakan pelajar berpotensi tinggi peralatan yang diperlukan untuk berjaya dalam akademik dan menjadi inovator serta pemimpin masa depan Malaysia, selain menggalakkan pelajar dan guru memanfaatkan sepenuhnya inisiatif ini untuk membina masa depan yang lebih cerah.
Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata dengan menyokong pelajar cemerlang daripada golongan kurang berkemampuan, syarikat berhasrat mewujudkan laluan yang menghubungkan aspirasi mereka melalui pengajian tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial