ISKANDAR PUTERI, 16 Julai (Bernama) -- Operasi menaikkan bangkai helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah dijangka bermula seawal 8 pagi esok, susulan mesyuarat penyelarasan tindakan antara agensi yang diadakan hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Johor SAC Muhd Zailani Abdullah dan Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang SAC Ahmad Lokman Abdul Hadi, serta disertai oleh 25 pegawai daripada pelbagai agensi berkaitan.
Antara agensi terlibat ialah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Putrajaya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor, Lembaga Pelabuhan Johor, pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.
Sebuah Markas Operasi Bersepadu turut diwujudkan berdekatan lokasi kejadian, sebagai pusat kawalan utama bagi menyelaras tugasan harian termasuk aspek penyelamatan, keselamatan dan perubatan.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati usai mesyuarat, Muhd Zailani dan Ahmad Lokman turut meninjau lokasi bangkai helikopter dengan menaiki bot, bagi menilai keperluan teknikal serta aspek keselamatan sebelum operasi pengapungan dilaksanakan.
Beberapa anggota pasukan penyelam TLDM turut dijangka melaksanakan penyelaman bagi memeriksa keadaan bangkai helikopter sebagai persediaan awal sebelum operasi pengapungan dijalankan, selain menjalankan pemeriksaan ke atas peralatan menyelam mereka.
Pemerhatian pemberita turut mendapati sebuah ambulans berada di lokasi kejadian dalam keadaan bersiap siaga bagi sebarang tugasan penyelamatan.
Dalam kejadian pada 10.15 pagi Khamis, sebuah helikopter jenis AS355N milik PDRM terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.
Selain Konstabel R.G Devendran dan Koperal Adeline Liu Yan Siu, turut terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom dan anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin.
Kesemua kru helikopter berjaya diselamatkan pasukan Polis Marin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial