IPOH, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 19,000 liter cecair disyaki minyak diesel dan beberapa peralatan lain bernilai RM60,550 dalam satu serbuan di sebuah tapak pembinaan di Ladang Changkat Asa, dekat Tanjong Malim semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 1.30 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian berkenaan susulan maklumat risikan daripada orang awam.
“Hasil pemeriksaan ke atas dua tangki skid di lokasi berkenaan membawa kepada penemuan cecair disyaki minyak diesel dalam kuantiti besar yang disimpan tanpa kebenaran bertulis Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan.
Kamalludin berkata seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak pembinaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan seperti lesen, surat kebenaran atau permit penyimpanan barang kawalan apabila diminta penguat kuasa.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial