AM

Mohamad Hasan Terajui AICHR Dan Suruhanjaya SEANWFZ, Mesyuarat Tiga Hala AMM Ke-58 Bermula

08/07/2025 10:35 AM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN Bersama Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) akan berlangsung hari ini sekali gus membuka tirai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka mempengerusikan mesyuarat itu selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil.

Selain Menteri-Menteri Luar ASEAN, mesyuarat itu akan disertai Menteri Luar Timor-Leste, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Wakil AICHR.

Acara tahunan itu, yang merupakan sebahagian daripada AMM, akan membincangkan perkembangan hak asasi manusia di ASEAN.

Mohamad juga akan menerajui Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan mempengerusikan mesyuarat tiga hala bersama Norway serta Sekretariat ASEAN pada sebelah petang.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, sesi itu memfokus kepada penilaian kemajuan dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Perjanjian SEANWFZ.

Turut dibincang potensi penyertaan Timor-Leste ke dalam perjanjian itu dan isu berlarutan bagi mendapatkan persetujuan Negara Senjata Nuklear (NWS) terhadap Protokol Perjanjian SEANWFZ.

Selain itu, mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Brazil dan Sekretariat ASEAN akan dihadiri para pegawai kanan ASEAN serta Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Datuk Astanah Abdul Aziz.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, bakal menyaksikan 24 mesyuarat peringkat menteri termasuk libat urus dengan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan