KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pameran Malaysia 2025 yang membuat kemunculan pertama di Osaka sebagai sebahagian daripada penyertaan Malaysia dalam Ekspo Dunia 2025, berfungsi sebagai platform utama yang meningkatkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Jepun.
Kedutaan Malaysia di Jepun dalam kenyataan berkata edisi kelima festival tahunan dari 27 hingga 29 Jun di Lalaport Expocity itu mempamerkan kekayaan warisan budaya, kepelbagaian masakan dan tradisi negara di bawah tema "All About Malaysia."
Pameran yang dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany pada 28 Jun itu adalah acara terbesar Malaysia di Jepun, yang bertujuan menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari negara matahari terbit itu ke Malaysia.
Shahril Effendi dalam ucapannya berkata lebih 130,000 pelancong Jepun melawat Malaysia antara Januari dan April tahun ini, peningkatan 21 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Beliau (duta) dengan mesra menjemput lebih ramai pelancong Jepun untuk merasai pengalaman berada Malaysia dan menikmati budaya yang indah, kelestarian alam semula jadi, hidangan masakan hebat, dan kemesraan rakyatnya,” kata kedutaan itu dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang acara tiga hari itu, pengunjung dihidangkan dengan persembahan kebudayaan yang meriah, di samping menikmati hidangan ikonik Malaysia yang dihidangkan oleh trak makanan, dan meneroka pelbagai jenis produk serta perkhidmatan Malaysia yang dipamerkan di gerai-gerai pameran.
“Pameran Malaysia 2025 turut menampilkan demonstrasi masakan, promosi pakej pelancongan, permainan tradisional dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik, termasuk tiket penerbangan pergi balik ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan itu berkata Pameran Malaysia 2025 mendapat sambutan yang sangat positif dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Jepun melalui penglibatan budaya yang lebih mendalam dan penghargaan orang ramai yang lebih besar terhadap tarikan unik Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial