AM

Penyenaraian Regatta Lepa Dalam Kalendar Pelancongan Dapat Promosikan Budaya Bajau

30/06/2025 11:37 AM

SEMPORNA, 30 Jun (Bernama) -- Pesta tradisional ikonik suku kaum Bajau di Sabah, iaitu Regatta Lepa yang kini tersenarai dalam kalendar pelancongan negeri tahun ini, mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong sekali gus merasai kemeriahan acara itu yang menampilkan pelbagai bot tradisional berwarna-warni.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata menerusi Regatta Lepa, Sabah dapat memperkenalkan keindahan budaya masyarakat Bajau dan usaha pemeliharaan warisan maritim kepada para pelancong dari seluruh dunia.

"Lebih istimewa, tahun ini ialah kali ke-30 pesta Regatta Lepa Semporna dianjurkan sekali gus membuktikan keteguhan komitmen masyarakat Semporna dalam memartabatkan warisan budaya mereka," katanya pada majlis penutupan Regatta Lepa Semporna di Padang Bandaran, di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Christina Liew.

Hajiji berkata Sabah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya, justeru usaha memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik adalah antara elemen utama yang menjadikan negeri ini produk pelancongan yang popular.

"Rakyat Sabah terdiri daripada 35 kumpulan etnik yang masing-masing mempunyai budaya, bahasa dan perayaan tersendiri … menjadikan Sabah sebagai satu daripada destinasi pelancongan pilihan, sama ada bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa," katanya.

Regatta Lepa Semporna yang diadakan selama dua hari bermula pada Sabtu lepas turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan lepa tradisi, pengibaran Sambulayang, pemilihan Ratu Lepa dan penganugerahan Tokoh Regatta Lepa.

Hajiji dalam pada itu, turut mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran acara Igalthon yang menyaksikan persembahan tarian tradisional Bajau dikenali sebagai Igal-Igal berlangsung selama satu jam tanpa henti melibatkan penari daripada pelbagai kumpulan budaya dan komuniti.

Beliau berkata acara itu dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan tarian Igal-Igal terpanjang, pada 21 Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan