JERTIH, 12 Jun (Bernama) -- Hampir setahun lepas Mohamad Isma Abdul Manaf, 47, menghantar anak sulungnya Nur Dalila Farhana ke menara gading dengan harapan anaknya itu akan membawa pulang segulung ijazah.
Walau bagaimanapun takdir menentukan segalanya apabila hari ini dia hanya menerima sijil kematian Nur Dalila Farhana, yang selama ini anak sulung itu menjadi harapan dan contoh kepada dua anak lain.
Mohamad Isma berkata dia reda dengan ketentuan Ilahi apabila anaknya terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), di Gerik, Perak, Isnin lepas, yang turut meragut nyawa 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) lain.
“Memang sedih apabila melihat sijil kematian tertera nama anak saya. Ibu bapa mana yang ingin melihat sijil kematian anak mereka, namun ini takdir saya. Saya harus reda dan kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sijil kematian Nur Dalila Farhana, 21, yang diserahkan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Mohamad Nasir Kareem di rumahnya di Kampung Bharu Tok Dhor sini hari ini.
Mohamad Isma berkata dengan adanya sijil kematian itu, ia memudahkannya dan isteri Norinda Kasim, 49, melakukan urusan lain seperti tuntutan insurans dan sebagainya.
Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI termasuk Nur Dalila Farhana maut apabila bas sewa khas membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di JRTB, di Gerik, Perak.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Sementara itu, Mohamad Nasir berkata lapan sijil kematian mangsa diserahkan kepada waris di kediaman masing-masing hari ini, manakala lima lagi telah diambil sendiri ahli keluarga di kaunter JPN dan dua lagi masih dalam proses.
“Inisiatif JPN ini memudahkan urusan keluarga menguruskan pendaftaran kematian anak mereka tanpa perlu hadir ke kaunter JPN sama ada di Besut atau Setiu.
“Kita faham kawasan kediaman kesemua waris agak jauh dari pejabat kita, jadi kita harap inisiatif ini dapat memudahkan urusan mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial