AM

CAP Gesa Kerajaan Larang Perjalanan Bas Lewat Malam Susulan Nahas Di Gerik

12/06/2025 03:56 PM

GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan melarang perjalanan bas pada lewat malam susulan kemalangan tragik yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) baru-baru ini.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata satu faktor penting yang perlu diambil kira adalah kemalangan tragik ini berlaku pada awal pagi dan terdapat banyak alasan yang menunjukkan bahawa perjalanan bas pada lewat malam adalah berbahaya.

Beliau berkata ini termasuk peningkatan risiko kemalangan akibat keletihan dan kecenderungan pemandu untuk terlelap.

“Terlelap ketika memandu boleh membawa kepada akibat yang dahsyat. Oleh itu, untuk mengatasi keletihan, ada pemandu yang mungkin menggunakan bahan perangsang tanpa kawalan untuk kekal berjaga yang boleh menjejaskan pertimbangan mereka semasa memandu.

“Selain itu, sesetengah pemandu mungkin mempunyai mentaliti mahu menyudahkan trip harian terakhir dengan cepat yang menyebabkan mereka mengabaikan peraturan keselamatan termasuk memandu laju, memotong kenderaan lain secara berbahaya dan mengabaikan undang-undang keselamatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohideen berkata banyak syarikat bas ekspres menjadualkan perjalanan bas pada sebelah malam dan ada yang memulakan perjalanan sekitar 12 tengah malam hingga 1 pagi.

Dalam insiden awal pagi Isnin itu, 15 mahasiswa UPSI terkorban apabila bas yang mereka naiki terbabas di KM53 JRTB, berhampiran Tasik Banding, Gerik.

CAP dalam pada itu turut mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani peningkatan kemalangan yang melibatkan kenderaan berat selain komited untuk menguatkuasakan langkah keselamatan yang lebih ketat serta menilai kesejahteraan mental pemandu bas ekspres secara rutin demi memastikan perjalanan yang selamat.

Mohideen berkata pada suku pertama 2024, terdapat 652 kemalangan yang melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori dan bas ekspres.

“Daripada jumlah itu, 287 kemalangan mengakibatkan kematian. Dalam tempoh Januari hingga Oktober 2024 sahaja, terdapat 825 kemalangan maut yang melibatkan lori,” katanya merujuk kepada statistik terkini.

Beliau berkata langkah Kementerian Pengangkutan untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih ketat turut dialu-alukan yang diyakini berkesan dan wajar dilaksanakan seperti pengenalan kamera papan pemuka dan kamera video lain di dalam bas, pelaksanaan pengehad kelajuan serta melengkapkan bas ekspres dengan sensor tali pinggang keledar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan