AM

​​​​​​Semua Pihak Diseru Perkasakan Pendidikan Keselamatan Digital – Lee

08/06/2025 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Golongan pendidik, ibu bapa, pembuat dasar dan sektor swasta diseru mengiktiraf pendidikan keselamatan digital sebagai kemahiran hidup penting dalam mendepani cabaran dunia moden, kata Pengerusi Alliance For a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata pendidikan keselamatan digital bukan lagi pilihan atau hanya tanggungjawab golongan profesional dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), sebaliknya telah menjadi satu keperluan kritikal bagi setiap anggota masyarakat dalam era digital masa kini, yang menyaksikan platform dalam talian membentuk cara masyarakat berkomunikasi, belajar, bekerja dan berhibur.

“Tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat harus dipikul secara bersama oleh seluruh komuniti, khususnya dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau meskipun Internet menawarkan pelbagai peluang untuk menimba ilmu dan berkembang, ia juga mendedahkan pengguna, terutamanya golongan muda kepada pelbagai risiko seperti buli siber, penipuan dalam talian, pemangsaan seksual, pencurian identiti, penyebaran maklumat palsu serta pendedahan kepada kandungan yang berbahaya atau tidak sesuai.

“Dalam banyak kes, kanak-kanak malah orang dewasa sendiri tidak menyedari bahaya yang wujud dalam talian atau tidak memiliki literasi digital yang mencukupi untuk melindungi diri,” katanya.

Lee berkata usaha meningkatkan literasi digital masih berdepan pelbagai cabaran termasuk kurangnya kesedaran, akses terhad kepada latihan serta jurang generasi yang menyukarkan ibu bapa mengikuti perkembangan teknologi semasa.

Katanya faktor lain seperti penularan maklumat palsu, kebergantungan berlebihan terhadap peranti serta kurangnya kemahiran berfikir secara kritis turut menyulitkan usaha memastikan penggunaan ruang digital secara selamat dan bermaklumat.

Bagi mengatasi cabaran itu, beliau mencadangkan agar kempen literasi digital berasaskan komuniti dilaksanakan menerusi kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah, termasuk penganjuran bengkel serta program kesedaran untuk ibu bapa, anak-anak dan pemimpin komuniti.

“Sekolah juga perlu mengintegrasikan pendidikan keselamatan digital seperti kewarganegaraan digital, kebersihan siber dan pemikiran kritis dalam kurikulum masing-masing.

“Pada masa sama, ibu bapa harus dilengkapi dengan alat, latihan dan sokongan untuk memantau serta membimbing tingkah laku dalam talian anak-anak mereka melalui komunikasi terbuka dan penglibatan aktif,” katanya.

Lee berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta juga perlu digembleng bersama syarikat teknologi bagi mempromosikan tabiat digital yang lebih selamat serta penggunaan alat seperti kawalan ibu bapa dan penapis kandungan.

“Mereka juga boleh menggalakkan penggunaan platform dalam talian yang mesra kanak-kanak serta mendidik anak-anak untuk melaporkan kandungan berbahaya, sekali gus memupuk tingkah laku digital yang beretika, berempati dan bertanggungjawab di rumah serta di sekolah.

“Marilah kita memperkasa komuniti agar celik digital, peka secara kritikal dan berdaya tahan dalam dunia siber. Perlindungan terhadap anak-anak dan pembinaan masa depan digital yang lebih selamat bermula dengan tindakan yang bijak hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan