AM

Wanita Orang Asli Cedera, Motosikal Terbakar Dalam Kemalangan

08/06/2025 11:02 AM

IPOH, 8 Jun (Bernama) -- Seorang wanita Orang Asli cedera selepas motosikal yang ditungganinya terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 342.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Sungkai, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan ringan, termasuk patah tangan dan luka di beberapa bahagian badan, sebelum dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.51 pagi dan menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan motosikal Yamaha LC yang terbabit kemalangan dengan sebuah Proton Waja dan sebuah Toyota Altis. Motosikal tersebut musnah 80 peratus, dan seorang wanita Orang Asli yang cedera telah dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati penunggang motosikal dipercayai terbabas sendiri sebelum motosikalnya yang berada di tengah lebuh raya telah diseret, sehinga menyebabkan kebakaran.

Katanya operasi pemadaman mengikut konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dijalankan menggunakan aliran salur bantu mula dan air tangki jentera, sebelum kebakaran dipadam sepenuhnya pada 7.38 pagi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan