Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 7 Jun (Bernama) -- Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menumpaskan pilihan kelima dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan di sini hari ini.
Pasangan di ranking keempat dunia itu mencatat kemenangan 21-12, 17-21, 21-11 dalam pertarungan sengit selama 64 minit, yang turut diserikan dengan sorakan padu penyokong tuan rumah.
“Kami gembira kerana berjaya ubah rentak permainan dan menyokong satu sama lain dengan baik. Ia banyak membantu kami di gelanggang,” kata Pearly selepas tamat perlawanan.
Gandingan negara itu turut menzahirkan kepuasan dengan prestasi yang ditampilkan, namun tetap mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan menjelang penampilan kedua mereka di pentas final di bumi Indonesia.
Sebelum ini, Pearly-Thinaah tewas di pentas final Masters Indonesia Januari lalu kepada pasangan Korea Selatan, Kong Hee Yong-Kim Hye Jeong, dalam aksi tiga set 12-21, 21-17, 18-21.
“Kami akan ambil masa untuk rehat, berbincang dengan jurulatih dan beri tumpuan pada pemulihan menjelang perlawanan akhir,” tambahnya.
Pearly-Thinaah dijadualkan menentang sama ada pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China atau gandingan Korea Selatan di ranking ketiga dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee, yang akan beraksi malam ini.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, 21-23, 21-15, 21-11.
Sementara itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa akur apabila langkah mereka terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam pertarungan tiga set, 21-23, 21-15, 21-11.
Impian beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk melangkah ke pentas juga tidak kesampaian apabila mereka ditundukkan oleh gandingan tuan rumah Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani
Walaupun muncul juara Masters Indonesia pada awal tahun ini, Wei Chong- Kai Wun dilihat bergelut untuk menyaingi rentak permainan lawan yang menghuni ranking kelapan dunia sebelum tumpas 21-18, 12-21, 21-18 dalam perlawanan selama 22 minit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial