Oleh Nurul Hanis Izmir
PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) -- Kerangka kawal selia baharu bagi industri media Malaysia yang dijadual diumumkan pada 14 Jun ini, bertujuan menggalakkan pengaturan diri serta penglibatan aktif dalam kalangan komuniti media, bermatlamat mengembalikan semula keyakinan rakyat dan memperteguh peranan penting kewartawanan dalam pembinaan bangsa.
Pengerusi sementara Majlis Media Malaysia (MMC) Premesh Chandran berkata kerangka ini sebahagian daripada inisiatif penting untuk kebebasan media sambil memastikan akauntabiliti melalui kod etika komprehensif serta tadbir urus yang inklusif.
“Kerangka ini berasaskan kepada Rang Undang-Undang Majlis Media yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini dan dijangka diumumkan semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada Sabtu akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada Selasa lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkembangan mengenai MMC dijangka diumumkan semasa sambutan HAWANA 2025 pada 14 Jun.
Premesh berkata majlis berkenaan menyatukan tiga sektor utama, iaitu pemilik media, profesional media, termasuk editor dan wartawan serta pihak berkepentingan lain seperti ahli akademik, masyarakat sivil dan kumpulan pengguna. Struktur inklusif ini membolehkan perspektif menyeluruh dan holistik terhadap masa depan industri.
Beliau turut menyentuh mengenai fungsi utama majlis itu, yakni menasihati kerajaan, mengesyorkan pembaharuan undang-undang media, serta mewujudkan kod etika bagi menggalakkan profesionalisme dan kemampanan dalam industri.
Berbeza dengan undang-undang sedia ada seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, beliau berkata kerangka baharu ini lebih kepada pendekatan berunding yang mengutamakan insentif berbanding hukuman.
“Untuk memperkasakan kebebasan media, majlis ini berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada undang-undang lapuk sambil memperkukuh standard etika dan menggalakkan kewartawanan yang bertanggungjawab,” katanya.
Premesh berkata pendekatan baharu ini membolehkan organisasi media yang mematuhi kod etika majlis menerima geran dan manfaat lain sebagai peralihan daripada dasar kawalan kepada pendekatan berbentuk insentif.
Selain itu, beliau berkata penubuhan majlis dan kerangka baharu ini diperkenalkan tepat pada masanya, tatkala landskap media berdepan gangguan digital, penyebaran maklumat salah dan kepercayaan rakyat yang kian terhakis.
“Matlamat utama kami adalah untuk memastikan ekosistem media yang berdaya tahan, beretika dan bebas. Dengan memperkasakan industri supaya mampu pengaturan diri serta berkolaborasi, kami yakin kredibiliti dapat dipulihkan dan peranan media dalam sistem demokrasi dapat diperhebat lagi,” kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata walaupun kerangka peraturan itu memberi peluang besar untuk memperhebat pengawasan dan menggalakkan standard bersama, jurang pelaksanaan tidak boleh dipandang enteng.
“Kami melihatnya sebagai peluang untuk kawal selia yang lebih inklusif serta platform untuk melibatkan pemain industri bersama-sama merangka peraturan yang mereka boleh patuhi dan laksanakan,” katanya.
Zurkarnain berkata peraturan semata-mata tidak memadai tanpa penguatkuasaan yang berkesan dan kesedaran orang ramai yang lebih menyeluruh.
Beliau berpandangan kesedaran yang lebih menyeluruh mengenai risiko digital, khususnya dalam kalangan ibu bapa, kanak-kanak dan pembuat dasar adalah sama pentingnya dengan merangka peraturan dan mesti disepadukan dalam kerangka yang lebih meluas.
Menyentuh isu kemungkinan berlakunya pertindihan antara MCMC dan MMC, terutamanya dalam kawal selia kandungan dan pengurusan aduan, Zurkarnain berkata kerjasama dan penyelarasan adalah penting bagi mengelakkan pertindihan.
“Kami tidak menganggapnya sebagai konflik. Kami memandangnya sebagai platform perkongsian untuk kemajuan bersama. Intipati Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah pengaturan diri, dan kekal sebagai tunjang utama,” katanya.
Zurkarnain berkata MCMC, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), dan pihak berkepentingan yang berkaitan bersama-sama membangunkan Kod Kandungan, iaitu satu set standard kandungan untuk pengamal media, penyedia platform, penyiar dan rujukan awam.
Kod berkenaan selaras dengan peraturan sedia ada untuk memastikan konsistensi sambil mendukung prinsip etika secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu ada dua kod berasingan yang boleh menyebabkan kekeliruan. Sepatutnya, tumpuan diberikan kepada penyelarasan standard dan menyesuaikan kerangka etika kami,” katanya, sambil menambah majlis media tidak sewajarnya dilihat sebagai badan yang bersaing, sebaliknya rakan dalam usaha memperkukuh industri yang memerlukan kepercayaan, kolaborasi dan penetapan peranan penguatkuasaan yang lebih jelas.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kehadiran dianggarkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA anjuran Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana bertujuan meraikan peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial