AM

Malaysia Sasar Setengah Juta Pelancong Dari UK Sempena TMM2026 - Ahmad Zahid

04/06/2025 09:18 PM

Daripada Syamsiah Sahat

LONDON, 4 Jun (Bernama) -- Malaysia menyasarkan ketibaan 500,000 pelancong dari United Kingdom (UK) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata jumlah itu dapat dicapai berdasarkan kedatangan pelancong dari negara berkenaan pada empat bulan pertama tahun ini, yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan beliau yakin jumlah berkenaan terus meningkat.

“Saya berpuas hati dengan usaha dijalankan Tourism Malaysia di London ini khususnya, …hasrat untuk memperoleh 500,000 pelancong dari United Kingdom ini saya yakin akan dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan TMM2026 di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Sesi Meja Bulat Pelancongan bersama pemain industri pelancongan di UK.

Pada sesi meja bulat itu, beliau berkata terdapat cadangan pengenalan pakej khas kepada pelancong yang menaiki penerbangan Malaysia dengan menawarkan insentif stopover untuk mereka singgah dan menikmati pengalaman di Kuala Lumpur atau mana-mana destinasi di Semenanjung.

“Saya telah bersetuju untuk membawa perkara ini kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan membawa kepada Kabinet untuk kita mohon supaya pakej ini dapat dilaksanakan menjelang 2026.

“… kerana Malaysia Airlines pernah memberikan pakej sama satu ketika dahulu, ia cukup berjaya dan mungkin saranan diberikan oleh pengurus Malaysia Airlines di London ini boleh kita realisasikan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata pada 2024, Malaysia mencatatkan 390,035 kedatangan pelancong dari UK yang menyumbang kepada lebih RM2.5 bilion daripada hasil perbelanjaan pelancong.

Beliau berkata Malaysia juga telah meluluskan 103 laluan antarabangsa  baharu, 29 kekerapan tambahan dan lima penerbangan carter.

“Semuanya sebagai persiapan TMM2026. Saya percaya laluan ini bukan sekadar infrastruktur tetapi juga pintu kepada pelbagai peluang sama ada untuk pelancong, pengendali mahupun pelabur,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata beliau turut berpeluang mengadakan sesi temu bual bersama syarikat penerbitan terkemuka industri pelancongan di UK, Travel Trade Gazette (TTG) bagi mempromosi pelancongan Malaysia di negara itu.

Beliau berkata sesi itu antara lain menyentuh prospek pelancongan Malaysia, perancangan strategik bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), serta usaha memperkukuh kerjasama sedia ada antara Malaysia dan pemain industri pelancongan di UK.

“Saya turut menyentuh beberapa aspek lain seperti kelestarian alam sekitar, pengalaman pelancong, serta kekuatan Malaysia sebagai destinasi yang unik dan mesra.

“Dengan sambungan semula penerbangan terus harian British Airways ke Kuala Lumpur, serta kerjasama erat bersama agensi pelancongan di sini, kita melihat potensi besar dalam memperluaskan capaian Malaysia sebagai destinasi pilihan rakyat UK dan Eropah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Beliau berkata hasil temu bual itu akan diterbitkan dalam versi cetak dan digital untuk diedarkan ke seluruh UK, sekali gus membantu merancakkan promosi TMM2026 dan menarik perhatian pelancong UK untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan.

Dalam temu bual bersama Wanderlust, majalah pelancongan bebas paling berpengaruh di UK, Ahmad Zahid menekankan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman autentik berteraskan budaya dan kelestarian alam.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di laman X berkata Malaysia menjanjikan pengalaman luar biasa merangkumi keindahan flora dan fauna, kepelbagaian budaya serta fasiliti moden yang masih mengekalkan nilai autentik khususnya bagi mereka yang ingin merasai pengalaman kehidupan masayarakat desa. 

Beliau turut memperincikan keunikan yang ditawarkan menerusi Program Inap Desa, pelancongan komuniti Orang Asli termasuk kepelbagaian etnik di Sabah dan Sarawak serta pemuliharaan tapak warisan seperti Geopark Kinabalu, Royal Belum yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia. 

“Semoga temu bual bersama pihak Wanderlust ini dapat membantu Malaysia merealisasikan kejayaan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, sejajar dengan kehendak pelancong antarabangsa khususnya dari UK yang mementingkan pengalaman melancong yang autentik dan bermakna,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan